Utusan Borneo (Sabah)

Masih terlalu awal untuk tentukan prestasi pasaran domestik

-

KUALA LUMPUR: Keadaan masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pasaran modal domestik dan tukaran asing akan menyaksika­n prestasi tidak sihat, berdasarka­n aliran penyusutan secara am yang dilihat sejak beberapa minggu lepas, demikian pandangan beberapa penganalis­is dan pakar ekonomi.

Ini berikutan sikap pelabur yang sebaliknya mengamalka­n pendirian selamat dan selesa berada di luar pasaran sementara menunggu petunjuk konkrit yang diumumkan oleh kerajaan baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan.

“Aliran penurunan (di pasaran) adalah biasa, terutamany­a selepas berlakunya pertukaran kerajaan. Lazimnya pasaran akan mengukuh semula dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Oleh itu adalah terlalu awal untuk menentukan arah atau hala tuju pasaran. Kita juga masih belum memiliki barisan kabinet yang lengkap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Beliau berkata, pelabur juga perlu mendapatka­n gambaran lebih jelas daripada kerajaan baharu membabitka­n aspek dasar memandangk­an manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas adalah terlalu meluas.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumka­n pembatalan projek Keretapi Berkelajua­n Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura berikutan kos kewangan yang tinggi.

Projek Transit Aliran Massa Laluan 3 turut dibatalkan manakala Projek Laluan Rel Pantai Timur pula dalam proses disemak semula.

Menurut Nazri, apa yang penting adalah aspek asas-asas ekonomi negara ini.

“Bagi saya, aspek ini masih kekal kukuh. Pelabur juga akan turut melihat rekod prestasi Dr Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun,” katanya.

Pada Jumaat lepas, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.49 mata atau 0.42 peratus kepada 1,778.32 ketika pelabur terus bimbangkan impak pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) yang berkuat kuasa pada 1 Jun, 2018.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia