Utusan Borneo (Sabah)

Permohonan dana Aidilfitri Terengganu 2018 dibuka

-

PERMOHONAN Dana Hari Raya Aidilfitri 2018 untuk rakyat Terengganu dibuka bermula semalam hingga 30 Mei ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Pelaksanaa­n Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat berkata rakyat Terengganu mempunyai masa seminggu untuk mengisi permohonan itu menerusi laman web iDANATTB

“Bagi permohonan baharu atau mengemas kini data peribadi (bagi permohonan sedia ada) ia boleh dibuat dalam tempoh seminggu dengan mengisi borang secara ‘online’ di laman web iDANATTB.

“Mana-mana rakyat Terengganu yang tidak dapat mengisi borang menerusi online, mereka boleh mengisi maklumat berkaitan di Pusat Bestari. com atau hadir ke Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Beliau berkata syarat permohonan adalah sama seperti sebelum ini iaitu warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya dan golongan berpendapa­tan rendah.

Katanya bantuan itu akan diagihkan seminggu sebelum perayaan Aidilfitri.

Dalam pada itu kerajaan baharu negeri pimpinan PAS juga katanya akan menunaikan dua manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 parti itu iaitu menganjurk­an perkahwina­n percuma kepada pasangan yang kurang berkemampu­an serta menangguhk­an bayaran pinjaman Yayasan Terengganu bagi tempoh Jun dan Julai.

Oleh yang demikian, Satiful Bahri berkata kerajaan negeri akan meneruskan program Perkahwina­n Perdana 2018 untuk siri kedua tahun ini yang dijangka dilangsung­kan November depan.

“Untuk siri yang pertama, permohonan itu telah pun ditutup dan dijangka majlis perkahwina­n akan diadakan di (kawasan) DUN (Dewan Undangan Negeri) masingmasi­ng bermula 25 Jun ini.

“Bagi pasangan yang tidak berkesempa­tan mendaftar untuk siri pertama, mereka boleh mengisi permohonan untuk Perkahwina­n Perdana siri kedua sekarang bagi majlis yang akan dilangsung­kan pada November depan,’ katanya.

Menurutnya, pasangan yang berminat boleh mengisi borang di lawan web Yayasan Pembanguna­n Keluarga atau di pusat khidmat ADUN masingmasi­ng. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia