Utusan Borneo (Sabah)

Parti politik pelbagai kaum perlukan asas baik: Fazzrudin

-

KUCHING: Cadangan untuk membentuk sebuah parti pelbagai kaum di Sarawak perlu bermula dengan asas yang baik, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman.

Beliau berkata Pemuda PBB menerima cadangan yang memberi fokus kepada kebaikan negeri dan kebaikan masyarakat namun, perjalanan untuk membentuk sebuah parti pelbagai kaum di Sarawak perlu bermula dari setiap parti komponen itu sendiri.

“Seperti PBB, kita mempunyai asas begitu kukuh sekali iaitu kita begitu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja untuk masuk ke dalam PBB.Kita juga mempunyai asas dan budaya bagi menyelesai­kan masalah dengan begitu baik sekali dalam kalangan PBB jika alami apa-apa krisis atau isu.

“Jadi, itulah asas yang kita perlu perkukuhka­n dahulu dalam sesebuah parti komponen...kita harapkan parti-parti komponen kukuhkan dahulu parti dengan asas ini untuk kita bergerak ke hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidifitri beliau di sini, pada Isnin.

Fazzrudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tupong berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing tentang perlunya penubuhan sebuah parti pelbagai kaum di Sarawak.

Dalam sidang media selepas selepas mempengeru­sikan mesyuarat Dewan Tertinggi PRS itu semalam, Masing juga mahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak hanya didominasi sebuah parti tertentu.

PRS, satu daripada empat bekas parti komponen Barisan Nasional (BN), serta PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menamatkan hubungan yang dijalin dengan BN sejak 1973 untuk membentuk GPS. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia