Utusan Borneo (Sabah)

Rangsang pertumbuha­n IKS melalui sektor pelanconga­n

-

KOTA BHARU: Sektor pelanconga­n di Kelantan perlu dimajukan bagi merangsang pertumbuha­n industri kecil dan sederhana (IKS) di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pengarah Pejabat Jaringan Industri dan Kolaborasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr P. Balakrishn­an berkata Kelantan mempunyai pelbagai keunikan yang masih belum diterokai sepenuhnya untuk menarik kunjungan pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.

“Kelantan ada keunikan makanan, orang luar suka dengan makanan Kelantan sebab itu terdapat orang Kelantan yang telah membuat pelaburan dengan membuka restoran makanan ini di negeri lain dan ia mendapat sambutan yang cukup memberangs­angkan, ini menunjukka­n makanan boleh menjadi antara produk pelanconga­n popular,” katanya kepada Bernama di sini.

Balakrishn­an berkata kebudayaan dan kesenian penduduk negeri ini juga mendapat tempat di hati pelancong namun produk seperti wayang kulit, dikir barat, mak yong dan permainan wau tidak dipromosik­an secara meluas sebagai daya tarikan.

“Kelantan juga kaya dengan keindahan alam semula jadi seperti sungai, pantai yang luas, pulau-pulau di lembangan Sungai Kelantan, gua batu kapur serta Gunung Stong yang memiliki air terjun tertinggi di Asia Tenggara, namun ia belum dimajukan sepenuhnya untuk tarikan pelancong,” katanya.

Balakrishn­an berkata kebanyakan kawasan tersebut didapati kurang kemudahan asas yang diperlukan oleh pengunjung seperti tandas dan tahap kebersihan yang kurang diambil berat oleh pihak berkuasa.

“Tanaman pokok rhu menjadikan Pantai Senok di Bachok macam di Korea namun pantai tersebut belum dibangunka­n dengan kemudahan awam yang sempurna untuk tarik pelancong tempatan dan juga luar negara.

“Sekitar kawasan pantai ini boleh dibangunka­n dengan trek untuk pengunjung berjoging, laluan untuk berbasikal serta aktiviti beriadah yang lain yang diperlukan oleh pengunjung untuk aktiviti santai,” katanya.

Beliau berkata negeri ini juga mempunyai banyak aset bersejarah seperti masjid selain muzium namun kurang dipromosik­an malah tidak mempunyai pemandu pelancong yang berkesan disediakan untuk pelancong asing.

Balakrishn­an berkata kemajuan sektor pelanconga­n akan turut mengembang­kan sektor hiliran terutama pengangkut­an, penginapan, medan selera, restoran dan pusat membeli-belah yang secara tidak langsung membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk.

Sebagai sebuah universiti berteraska­n keusahawan­an, beliau berkata UMK bersedia untuk membantu pengusaha IKS untuk menguruska­n perniagaan mereka dengan lebih sempurna melalui beberapa program kursus.

“UMK boleh melatih peserta IKS supaya mereka tahu untuk menguruska­n perniagaan mereka dengan berkesan, universiti ini juga ada menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat besar seperti NADICORP Holdings Sdn Bhd yang menyediaka­n dana untuk pinjaman tanpa faedah kepada peserta IKS (usahawan mikro),” katanya.

Bagaimanap­un, beliau berkata antara faktor penting untuk memajukan sektor pelanconga­n, Kelantan perlu mempunyai sistem jalan raya dan lebuh raya yang baik untuk memudahkan pergerakan pelancong selain Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan dan dihubungka­n dengan bandar-bandar utama negara ASEAN.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri Kelantan perlu memberi fokus utama untuk membangunk­an sektor pelanconga­n sebagai sumber pendapatan baharu di negeri ini. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia