Utusan Borneo (Sabah)

Penubuhan GPS keputusan bijaksana kepimpinan tertinggi PBB: Wan Junaidi

-

KUCHING:Penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan keputusan bijaksana yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kerana sayangkan Sarawak.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia bukan soal tidak sayangkan Barisan Nasional (BN) tetapi perjuangan Kerajaan Sarawak untuk mempertaha­nkan hak-hak orang Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) dan di bawah Perlembaga­an Malaysia, supaya kita tidak terikat dengan mereka di Semenanjun­g Malaysia.

“Kita bukan tidak suka kepada BN kerana banyak peruntukan kewangan yang telah diberikan Najib dan Zahid tapi kita jauh lebih sayang Sarawak daripada yang lain. Ini keputusan parti yang dahulunya merupakan komponen BN, kita sebagai ahli parti apa sahaja pendirian peribadi kita tidak lagi relevan kerana kepimpinan parti sudah membuat keputusan dan kita sepatutnya akur.

“Arahan parti dan misi parti itu perlu disokong dan didukung oleh semua pihak. Tidak boleh manamana pihak di luar parti ini, iaitu luar parti PBB, SUPP, SPDP dan PRS menganggap serong terhadap mana-mana Ahli Parlimen itu khususnya tidak taat kepada kerajaan BN terdahulu.

“Walaupun masing-masing mempunyai pendirian peribadi yang berlainan tetapi keputusan kepimpinan itu adalah jauh lebih penting dan daripada situ, kita akan tengok nanti menerusi perbincang­an kita akan mencari hala tuju kepimpinan bagi parti gabungan GPS ini.

“Pilihan raya pada 9 Mei lepas melibatkan 220 konstituen­si, jemputan makluman dan notis rasmi belum lagi diterima tetapi maklumat tidak rasmi mengatakan tarikh mengangkat sumpah adalah pada 16 Julai ini,” katanya ketika di temui Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman beliau di sini pada Ahad.

Wan Junaidi yang juga merupakan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menambah, syarat untuk mengangkat sumpah perlu dilakukan di hadapan speaker Dewan Rakyat dalam tempoh 120 hari selepas tamat rakyat mengundi.

Itu bermakna Ahli Parlimen tidak dibenarkan mengangkat sumpah lagi selepas 9 September nanti.

“Apabila seseorang dipilih menjadi calon sama ada pilihan daripada parti atau bertanding sendiri, dia akan menjadi wakil rakyat dan belum dipilih menjadi Ahli Parlimen lagi.

“Masih ramai yang tidak mengetahui sebelum menjadi ahli dewan, seseorang itu belum lagi menjadi Ahli Parlimen, hanya selepas mengangkat sumpah baharulah mereka menjadi Ahli Parlimen yang sah dan mempunyai tempat duduk di Dewan Rakyat” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia