Utusan Borneo (Sabah)

Kanak-kanak perempuan maut ditikam 30 kali

-

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut dengan 30 kesan tikaman dipercayai ditikam bapa saudaranya di kediaman keluargany­a di Taman Kepong di sini, malam Isnin.

Mayat kanak-kanak itu, yang ditutup dengan selimut putih, ditemui oleh neneknya di dapur rumah teres dua tingkat ketika mahu mengambil barang.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira 9.30 malam ketika mangsa bermain dengan suspek berusia 21 tahun, yang tidak menetap bersama dan hanya datang sekali-kala melawat keluarga berkenaan.

Semasa kejadian, hanya terdapat emak mangsa yang dipercayai berada di tingkat atas tidur bersama seorang bayinya manakala nenek mangsa berada di tingkat bawah, katanya ketika dihubungi.

Munusamy berkata nenek mangsa telah keluar seketika dan sekembalin­ya ke rumah ketika mahu mengambil barang di dapur, terkejut melihat ada kesan darah di lantai dan selimut putih menutupi sekujur tubuh.

“Apabila nenek mangsa menyelak kain putih berkenaan, nenek mangsa menjerit kerana mendapati cucu perempuann­ya berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

“Sejurus itu, nenek mangsa terus ke tingkat atas untuk memberitah­u emak mangsa (mengenai kejadian itu) dan pada masa sama melihat suspek berada di tingkat sama sedang bermain dengan bayi (adik mangsa),” katanya.

Munusamy berkata emak mangsa bingkas bangun dan melihat mangsa lantas meminta pertolonga­n jiran untuk menghantar anaknya yang sudah tidak sedarkan diri itu ke sebuah hospital swasta berhampira­n.

Beliau berkata pemeriksaa­n badan yang dijalankan pada mangsa di hospital swasta itu mengesan terdapat 30 kesan tikaman, dipercayai akibat tusukan objek tajam.

Mayat mangsa kemudianny­a dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Suspek ditahan di dalam rumah itu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala motif kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia