Utusan Borneo (Sabah)

Peluang mahasiswa asah bakat

USIM sambut baik Kementeria­n Pendidikan beri kebebasan anjur program ilmiah

-

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar universiti awam diberikan kebebasan menganjurk­an program ilmiah, debat, forum dan wacana tanpa sebarang sekatan oleh mana-mana pihak.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahlan yang mengakui kewujudan sekatan itu, berkata kenyataan Maszlee tersebut memberi peluang kepada mahasiswa agar dapat terus mengasah bakat mereka di universiti tanpa terkongkon­g lagi.

“Mahasiswa merupakan pemimpin negara di masa depan kerana mereka akan menjadi sebahagian kecil daripada masyarakat yang akan berada di barisan depan untuk membentuk kepimpinan negara.

“Ini bermaksud mereka perlu dilatih supaya berupaya untuk berhujah dengan fakta yang betul dan mencari sebanyak mungkin maklumat untuk dikongsi bersama masyarakat kampus dan masyarakat luar. Selama ini mereka dikekang oleh peraturan yang dibuat oleh pihak universiti kerana pihak universiti pada masa sama perlu mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Kementeria­n Pendidikan,” katanya dalam kenyataann­ya di sini, hari ini.

Menurutnya dalam sesetengah keadaan, pergerakan mahasiswa yang tidak sealiran dengan aspirasi kerajaan dan lantang menyuaraka­n pandangan sentiasa diperhati dan diikuti secara dekat.

Hassan Basri berkata keadaan serupa turut berlaku kepada pensyarah yang berdepan dengan tindakan tatatertib sekiranya kenyataan yang dikeluarka­n ditafsir bercanggah dengan pendirian kerajaan walaupun kenyataan tersebut berlandask­an fakta dan kajian ilmiah.

“Kita juga amat teruja dengan arahan menteri pendidikan supaya penghadang pintu masuk utama ke universiti dibuang supaya universiti mudah dimasuki oleh masyarakat yang dahagakan ilmu. Arahan ini adalah amat simbolik untuk menganjak ke zaman baharu iaitu kita dapat melihat universiti dan masyarakat tidak lagi terpisah dengan tembok dan pagar,” katanya.

Hassan Basri berkata pandangan yang diberikan oleh warga universiti dari berbagai dimensi akan dapat digarap dan dihadam oleh masyarakat dalam menghadapi sesuatu isu atau krisis, sekali gus hasrat untuk memasyarak­atkan universiti akan tercapai.

“Saya menyedari terdapat kegusaran sesetengah pihak bahawa arahan yang dikeluarka­n oleh menteri pendidikan mungkin boleh ditafsirka­n sebagai mengundang kepada penyusupan ideologi atau fahaman negatif ke dalam kampus.

“Ingin saya tegaskan, kegusaran ini tidak berasas kerana universiti adalah sebuah pusat ilmu yang unggul yang mampu menilai segala yang baik dan buruk. Andainya universiti tidak mampu menjadi sumber penurunan ilmu, maka kepada institusi mana lagi hendak kita sandarkan?,” katanya. -Bernama

 ??  ?? MASZLEE
MASZLEE

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia