Utusan Borneo (Sabah)

Polis P.Pinang tahan lima suspek, rampas dadah bernilai RM300,000

-

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan lima suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan berasingan di sekitar negeri ini minggu lepas.

Ketua Polis negeri Datuk A. Thaiveegan berkata serbuan turut menyaksika­n rampasan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM300,000.

Dalam serbuan pertama pada 12.45 tengah malam 10 Jun lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di kawasan flat di Jelutong serta merampas dadah bernilai RM26,260 yang ditemui di dalam beg silang yang dibawa suspek, katanya pada sidang media, di sini pada Rabu.

Thaiveegan berkata susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun berhampira­n Jambatan Pulau Pinang pada 5 petang hari sama serta merampas dadah bernilai RM21,000.

“Tangkapan ketiga dibuat pada 14 Jun, kira-kira 6 petang di sebuah rumah di Air Itam, melibatkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 36 hingga 47 tahun dan merampas dadah jenis heroin bernilai kira-kira RM249,500,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga operasi turut menyaksika­n polis menyita pelbagai peralatan dipercayai untuk memproses dadah dan sebuah motosikal serta kereta yang dianggarka­n bernilai RM71,600.

Katanya bagi tempoh Januari lalu hingga kini, polis Pulau Pinang berjaya melumpuhka­n beberapa sindiket dadah melibatkan rampasan bernilai RM13 juta.

“Kita akan mempergiat­kan usaha membantera­s sindiket dadah ini yang terus menjadikan negeri ini sebagai pusat operasi mereka dan menyeru orang ramai menyalurka­n maklumat sekiranya terdapat pergerakan mencurigak­an berkaitan dadah di kawasan mereka,” katanya.

Sementara itu, Thaiveegan berkata polis sedang memburu seorang lelaki berusia 36 tahun yang melarikan diri ketika cuba ditahan polis di Jalan Macallum kira-kira 11 malam tadi.

Terdahulu, suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Waja cuba melanggar anggota peronda menyebabka­n polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan berkenaan.

“Bagaimanap­un suspek berjaya melarikan diri selepas meninggalk­an keretanya ketika tiba di jalan mati di Lebuh Carnavon dan hasil pemeriksaa­n di dalam kereta suspek menemukan beberapa peralatan menghisap dadah selain sebilah parang panjang,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia