Utusan Borneo (Sabah)

Suncon akan masuk semula ke dalam pasaran India

-

PETALING JAYA: Sunway Constructi­on Group Bhd (SunCon) merancang untuk memasuki semula pasaran India tahun ini untuk membida projek jalan kereta api serta projek lain yang berpotensi, kata Pengarah Urusan, Chung Soo Kiong.

Sebelum keluar dari negara tersebut pada 2012, beliau berkata, syarikat pembinaan itu telah membina lebuh raya dan kini merancang untuk terbabit dalam projek jalan kereta api.

SunCon telah membina tujuh lebuh raya di India, termasuk kerja-kerja jalan di Koridor Pantai Timur di Rajasthan dan Kesambunga­n Pelabuhan Cochin Vallapadam, Kerala, katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan tersebut di sini, kelmarin. Selain India, SunCon juga berminat untuk memasuki negara Asean lain, termasuk Myanmar.

Chung berkata, syarikat itu juga berharap dapat menyertai fasa kedua projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT).

“Kami sudah pasti berminat dan gembira untuk turut serta,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkut­an, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek KVDT akan dikaji semula kerana kos asal yang dianggarka­n RM5.9 bilion untuk 110 kilometer, dianggap terlalu tinggi.

Chung juga berkata, pihaknya yakin dengan prospek untuk tahun ini walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

“SunCon tidak terlalu bergantung kepada kontrak kerajaan dan itulah sebabnya kami berkembang ke luar negara,” katanya, sambil menambah, dengan projek sedia ada kira-kira RM800 juta, syarikat itu dijangka kekal stabil dari segi kewangan untuk tiga tahun akan datang.

Mengenai tender baru, SunCon yang membida kontrak bernilai RM10 juta, Chung yakin hasilnya akan positif.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia