Utusan Borneo (Sabah)

Beckham ramal England, Argentina ke final Piala Dunia 2018

-

BEIJING, China: Bekas kapten England, David Beckham, meramalkan England akan menentang Argentina di final Piala Dunia 2018, selepas berasa yakin dengan peluang dan permulaan positif England di Rusia, tuan rumah Piala Dunia 2018.

Beckham bercakap pada satu majlis promosi di China selepas England menewaskan Tunisia 2-1 pada perlawanan pertama mereka, meningkatk­an peluang untuk melangkah ke pusingan kedua kejohanan.

England sudah lama gagal menyerlah pada kejohanan besar dan kali terakhir mereka melangkah ke peringkat suku akhir di Piala Dunia ialah pada 2006, apabila Beckham menjadi kapten. Satu-satu penampilan England di final ialah pada 1966, apabila menewaskan Jerman di Wembley untuk muncul juara dunia buat kali pertama.

“Saya percaya Argentina akan menentang England di final,” kata Beckham ketika membuat ramalan.

“Saya fikir pilihan jelas ialah England untuk menang tetapi ia bermakna saya berat sebelah dengan negara saya,” tambah beliau.

Tetapi bekas bintang kelab Manchester United dan Real Madrid, yang beraksi di tiga Piala Dunia, memberi amaran tentang perjalanan sukar buat anak buah Gareth Southgate.

“Saya sangat gembira di mana mereka menang perlawanan pertama kumpulan,” kata beliau. “England adalah pasukan muda, mereka tidak mempunyai banyak pengalaman lagi dan perjalanan di Piala Dunia akan menjadi lebih sukar kerana ada banyak pasukan hebat pada kejohanan ini.”

Penilaian Beckham mungkin juga dipengaruh­i dengan kegagalan pasukan kuat menyerlah pada perlawanan pertama dengan Mexico menewaskan juara bertahan, Jerman.

Argentina, yang mungkin bertemu England di separuh akhir atau final, seri 11 dengan Iceland pada perlawanan pertama.

Beckham menambah China, yang mengidam untuk menjadi kuasa bola sepak tetapi hanya sekali melangkah ke Piala Dunia, bergerak ke arah yang betul tetapi masih jauh lagi perjalanan mereka.

“Di masa hadapan, negara ini benar-benar mempunyai peluang untuk menjadi salah satu kuasa bola sepak dunia tetapi ia memerlukan banyak pelaburan, kerja-keras namun mereka bergerak ke arah yang betul,” kata beliau. – AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia