Utusan Borneo (Sabah)

Sarawak sambut baik keputusan Mahkamah Persekutua­n tolak permohonan Petronas

-

KUCHING: Sarawak menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutua­n pada Jumaat menolak permohonan Petronas bagi kebenaran untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan negeri itu berhubung hak syarikat minyak negara itu untuk mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri berkenaan.

“Syukur Alhamdulil­lah, Rakyat Sarawak baru sahaja menang di mahkamah hari ini. Terima kasih banyakbany­ak kepada pasukan peguam kami dan mari kita semua berdoa untuk yang terbaik di masa depan,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam catatan di Facebook rasmi beliau.

Di Putrajaya awal hari ini, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop menolak permohonan Petronas bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap kerajaan Sarawak dan memerintah­kan syarikat minyak negara itu membayar RM50,000 sebagai kos kepada kerajaan negeri.

Petronas memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding itu mengikut Perkara 4 (4) Perlembaga­an Persekutua­n pada 6 Jun, memohon perisytiha­ran bahawa Akta Pembanguna­n Petroleum 1974 (PDA) terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan di Sarawak.

Ia memohon mahkamah mengisytih­arkan bahawa Akta Pembanguna­n Petroleum 1974 (PDA) yang telah dikuatkuas­akan oleh Parliamen yang menyatakan bahawa Petronas ialah pihak pengawal selia eksklusif bagi industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak. Syarikat itu turut memohon perisytiha­ran bahawa Ordinan Perlombong­an Minyak Sarawak 1958 (OMO) secara tersiratny­a telah dimansuhka­n oleh PDA.

Petronas diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala peguam kerajaan negeri Sarawak Datuk Sri J. C. Fong mewakili kerajaan negeri. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia