Utusan Borneo (Sabah)

Atuk dan cucu maut, enam cedera dalam kemalangan di LPT1

-

KUANTAN: Dua sekeluarga maut, enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Km233.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) berhampira­n Hentian Rehat dan Rawat Kuantan di sini, tengah malam Sabtu, menurut polis.

Dalam kemalangan pada kira-kira 12.05 malam itu, Hamzah Hitam, 77, dan cucunya Muhammad Hairi Khosni, 18, yang merupakan penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut di tempat kejadian.

Empat lagi anggota keluarga itu yang cedera ialah pemandu MPV Khosni Kamit, 54, yang merupakan staf Jabatan Kebajikan Masyarakat, isteri Khosni Nor Haliza Hamzah, 50, dan kakaknya Nor Haslina, 52, dan seorang lagi anak pasangan itu Muhammad Haziq, 24, yang patah paha kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Pahang Supt Kamarulzam­an Jusoh berkata turut cedera ialah pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Wazir Baharudin, 46 dan rakannya, Muhammad Ishak Ismail, 54.

“Bagaimanap­un pemandu sebuah lagi MPV Perodua Alza, Faiq Ibrahim, 28, isteri, Norhidayah Boriak, 25, anak mereka, Muhammad Firash Nawfal, 6 bulan, dan adik pemandu Mohd Firdaus, 24, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

Katanya mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia