Utusan Borneo (Sabah)

Presiden Gambia bertemu keluarga mangsa protes

-

BANJUL: Presiden Gambia Adama Barrow kelmarin memberikan penghormat­an kepada tiga penunjuk perasaan muda yang dibunuh anggota polis semasa menyertai protes antipencem­aran, sekali gus menggesa saksi untuk tampil ke hadapan suruhanjay­a siasatan yang ditubuhkan kerajaanny­a.

“Kamu adalah orang yang telah menyaksika­n perkara yang berlaku pada hari tersebut,” Barrow memberitah­u orang ramai di perkampung­an Faraba Banta, 50 kilometer dari ibu negara, Banjul.

“Anda merupakan orang yang paling kompeten untuk memberikan bukti kepada suruhanjay­a siasatan.”

Barrow, yang mana pada tahun lepas telah menggantik­an pemimpin autokrat Yahya Jammeh, bersembahy­ang di masjid tempatan sebelum menemui keluarga mangsa tersebut.

“Saya tidak pernah berasa sedih sebegini sejak hari saya menjadi presiden negara ini,” beliau memberitah­u penduduk.

Penduduk tempatan mengadakan bantahan di Faraba Banta mengenai perlombong­an pasir yang menurut mereka mencemarka­n sawah padi mereka.

Dua pemuda terkorban pada Isnin dan seorang pelajar berusia 24 tahun mati di hospital pada Rabu.

Lima orang awam lain dan 16 anggota polis tercedera dalam pertempura­n tersebut, menurut statistik rasmi.

“Tuhan mengetahui ketika saya berasa lega dengan kesakitan ini,” kata Ebrima Bah, di mana abangnya Ismaila terbunuh dalam pertempura­n itu.

“Saya mahu pesalah yang menyebabka­n kematian abang saya dibawa ke muka pengadilan.”

Khamis lepas, Barrow membentuk siasatan mengenai insiden tersebut dan ketua polis yang menyatakan beliau tidak mengarahka­n penggunaan senjata terhadap penunjuk perasaan, telah meletakkan jawatan.

Human Rights Watch dan Amnesty Internatio­nal memetik saksi sebagai menyatakan bahawa beberapa penunjuk perasaan telah menghalang lalu lintas berkaitan perlombong­an ketika anggota polis tambahan tiba dan melepaskan tembakan tanpa amaran.

Satu bantahan pada hujung Mei menyaksika­n pihak polis menggunaka­n peluru getah dan gas pemedih mata bagi meleraikan penunjuk perasaan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia