Utusan Borneo (Sabah)

Taman Mini Ajaib Mula tambat hati penduduk Tangkak

-

TANGKAK: Sebelumnya, taman rekreasi seluas kirakira 1.4 hektar di daerah ini adalah kawasan riadah yang hanya dihiasi landskap ringkas, suram dan hanya dipenuhi golongan muda yang berkumpul di atas motosikal bersama rakan-rakan pada waktu petang.

Namun setelah transforma­si dilaksana menerusi penyediaan pelbagai kemudahan, landskap serta sistem pencahayaa­n di taman awam yang terletak kira-kira 3.6 kilometer dari Plaza Tol Tangkak itu, kawasan berkenaan yang berwajah baharu mula menarik perhatian ramai terutama penduduk sekitar.

Tidak siapa sangka taman rekreasi berusia lebih 10 tahun yang ‘lesu’ sebelum ini, kini memiliki Taman Mini Ajaib yang mula dibuka sejak Oktober tahun lepas dan menjadi tumpuan orang ramai meluang masa dengan pelbagai aktiviti riadah pada waktu pagi atau petang bersama-sama keluarga.

Seorang suri rumah, Halijah Aripin, 62, berkata kewujudan Taman Mini Ajaib itu memberi keterujaan kepada pengunjung kerana selain menjalanka­n aktiviti riadah, kawasan tersebut turut dihiasi ratusan kuntuman bunga pelbagai warna yang menyejukka­n pandangan mata.

“Saya seorang penggemar bunga dan apabila melihat bunga-bunga yang pelbagai warna serta tumbuhan hijau di taman rekreasi ini, saya berasa nyaman selain ia juga bagaikan terapi kepada diri saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Taman Mini Ajaib di sini, baru-baru ini.

Antara pokok renek berbunga yang diselitkan di taman ini adalah bunga kertas, ros Jepun, petunia, lidah kucing, amazon blue dan ruellia, manakala pokok daun renek seperti pokok bayam merah, bayam mini merah dan duranta turut menonjolka­n keindahan landskap Taman Mini Ajaib berkenaan.

Kepelbagai­an landskap kejur yang diketengah­kan di taman itu turut memberi impak dan menambah faktor penarik taman tersebut seperti gerbang mini dan pergola, arca berbentuk basikal dan kereta sorong, pasu limpah serta laluan taman dan replika berbentuk ‘Love-Ledang Tangkak’ yang merupakan ikonik logo bagi daerah ini.

Taman Mini Ajaib cetusan idea bekas Ahli Parlimen Ledang Datuk Dr Hamim Samuri pada 2016 itu telah menambah baik keadaan landskap di taman rekreasi yang dikenali sebagai Taman Bunga Raya dan Laman Ledang yang terletak bersebelah­an Masjid Jamek Bandar Tangkak.

Seorang pesara swasta, Ros A. Hamid, 72, yang akan menghabisk­an hujung minggu di taman itu bersama cucu lelakinya berkata Taman Mini Ajaib sememangny­a sesuai dijadikan destinasi riadah untuk seisi keluarga.

“Selain suasana landskap yang menenangka­n jiwa, taman rekreasi ini turut menyediaka­n pelbagai kemudahan lengkap untuk pengunjung antaranya tandas awam, gerai, kawasan permainan kanak-kanak, tempat duduk, peralatan senaman dan trek joging.

“Saya harap selain Gunung Ledang, taman rekreasi ini juga mampu menjadi tarikan kepada pelancong luar pada masa akan datang, selain memenuhi keperluan penduduk tempatan untuk menjalanka­n aktiviti riadah bersama keluarga,” katanya.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia