Utusan Borneo (Sabah)

Bersediaka­h belia Sabah?

- AHMAD FARID SAINURI

SEANDAINYA saranan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, banyak perkara yang perlu kita selesaikan. Ianya adalah cadangan yang baik, tepat pada masanya dan sangat progresif. Namun, ianya datang dengan komitmen yang besar.

Terdapat cadangan untuk menjadikan urusan pendaftara­n undi menjadi automatik sebaik sahaja belia mencapai umur 21 tahun. Isu ini dianggap sebagai agenda yang lebih utama berbanding menurunkan had umur mengundi. Idea ini harus diraikan sebagai langkah pertama untuk merealisas­ikan penurunan had umur mengundi kerana ianya melibatkan integrasi sistem yang teknikal antara Suruhanjay­a Pilihanray­a (SPR) dan Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN). Hal ini kerana, sekiranya isu teknikal boleh diselsaika­n dengan mudah, pasti hal lain seperti penurunan had umur boleh direalisas­ikan.

Selain daripada itu, perkara penting yang perlu disiapkan adalah kesediaan sektor pendidikan formal itu sendiri. Baik seawal sekolah rendah mahupun peringkat menengah, kita perlukan pendekatan Pengajaran dan Pembelajar­aan (PnP) khusus untuk pendidikan demokrasi yg lebih praktikal dan mendalam seperti silibus “Sekolah Politik”, “Sekolah Demokrasi” dll. Selain sekolah, yang perlu memainkan peranan lebih proaktif, pastinya persatuan belia di peringkat akar umbi atau negeri selain daripada NGO yang berkaitan.

Belia Sabah terutamany­a yg masih ketinggala­n dalam konteks “Sosialisas­i Politik” pasti memerlukan perhatian yg lebih supaya perubahan ini menguntung­kan rakyat dan tidak mudah di eksploit oleh mereka yg tidak bertanggun­gjawab. Belia yg cakna dengan falsafah demokrasi pasti dapat membina jati diri dan patriotism­e dengan lebih berkesan berbanding yg ikut-ikutan atau semangat-semangatan!

Belum lagi dibincangk­an hal kesejahter­aan ekonomi belia Sabah. Ini juga faktor penting yang menjamin pendirian politik seseorang itu tulen atau pun hanya untuk menjaga periuk nasi semata. Dengan kekuatan jati diri dan ekonomi, barulah anak muda tidak mudah diperlekeh (baca: dijual beli undinya) walaupun baru berusia 18 tahun. Namun begitu, harus diingat bahawa kekuatan jati diri pastinya melangkaui kehendak keperluan materi yang bersifat sederhana dan bukannya fitrah sebenar insani.

Secara peribadi, penulis lebih cenderung dengan gagasan “belia di atas politik kepartian”. Idea ini bukanlah menafikan atau mengecuali­kan belia didalam arena politik tanahair. Akan tetapi, meletakkan idea bahawa suara anak muda seharusnya konsisten sebagai buah fikiran yang segar dan melangkaui stigma –stigma lama yang menyekat perubahan yang dinamik. Dengan pendirian ini, suara anak muda kekal sebagai suara pendesak. Bukan suara yg tunduk layu dgn ketaatan kepada pucuk pimpinan secara membuta tuli. Pemuda UMNO sendiri sudah menerima natijahnya dalam PRU14. Akhirnya, usai tewas teruk barulah berkicau suara - suara kecewa yang sepatutnya dilontarka­n lebih awal.

Konklusiny­a, perubahan – perubahan progresif seperti penurunan had umur mengundi ini harus diangkat sebaiknya. Akan tetapi, harus dipertimba­ngkan juga keadaan sosio politik dan sosio ekonomi masyarakat terutamany­a belia di sesuatu negeri sebelum sebarang pelaksanaa­n dijalankan. Bak kata paman adiwira terkenal Spider Man, “With great power, comes great responsibi­lity”. Pihak kerajaan juga punya kuasa, tapi kuasa yang lebih besar sebenarnya terletak kepada rakyat. Maknanya, tanpa komitmen dan rasa tanggungja­wab rakyat untuk mengangkat idea – idea perubahan, sebarang dasar mahupun polisi baharu pasti gagal dilaksana sebaiknya. (Artikel oleh Ahmad Farid Sainuri)

Penulis adalah aktivis belia yang kini diamanahka­n sebagai Timbalan Yang Dipertua ABIM Sabah dan merupakan Exco Majlis Belia Sabah. Artikel ini adalah pendapat peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian persatuan.Oleh

 ??  ?? FARID
FARID

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia