Utusan Borneo (Sabah)

MPKB perkenal penggunaan tiket letak kereta

-

KOTA BHARU: Gara-gara meter meletak kereta yang sering dirosakkan oleh pihak tidak bertanggun­gjawab, Majlis Perbandara­n Kota Bharu (MPKB) tampil dengan idea baharu dengan memperkena­lkan penggunaan tiket letak kereta bermula 10 Jun lepas.

Ketua Penolong Pengarah Perhubunga­n Awam MPKB Azman Mohd Daham berkata tiket letak kereta berharga RM6 dan RM8 itu boleh dibeli daripada semua pegawai penguatkua­sa meter letak kereta dan juga ejen yang dilantik oleh MPKB.

Azman berkata pengguna juga boleh mendapatka­n tiket tersebut di pejabat letak kereta di Padang Perdana, kaunter MPKB dan Pusat Transforma­si Bandar (UTC) KB Mall di sini.

“Tiket tersebut boleh digunakan di semua petak letak kereta dan pengguna perlu menggores dan mempamerka­nnya di bahagian depan (papan pemuka) sebelah pemandu dalam kereta.

Kita harap alternatif ini akan menyelesai­kan pelbagai masalah pengguna berhubung bayaran letak kereta bermeter selain mengelakka­n vandalisme,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Beliau berkata sejumlah 1,500 unit meter parking di negeri ini rosak sejak awal tahun ini dipercayai akibat sikap vandalisme pihak tidak bertanggun­gjawab sekali gus telah menjejaska­n pendapatan pihaknya sehingga 50 peratus.

“Daripada laporan yang diterima antara lokasi yang mencatatka­n kerosakan atau kegiatan memecahkan meter letak kereta tertinggi adalah sekitar Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia