Utusan Borneo (Sabah)

Axelsen, Lin Dan mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia

-

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain bukan pilihan Khosit Phetpradab dari Thailand untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2018.

Dalam aksi sengit itu, Axelsen mengambil masa 58 minit untuk mengatasi Phetpradab, 21-17, 18-21, 21-13 pada perlawanan pembukaan acara perseorang­an lelaki yang berlangsun­g di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil di sini pada Selasa.

Juara dunia itu dijadual bertemu seorang lagi pemain Thailand, Tanongsak Saensomboo­nsuk di pusingan kedua Khamis ini.

Saensomboo­nsuk mudah mara ke pusingan kedua selepas mengalahka­n Anders Antonsen dari Denmark 21-14, 21-15.

“Pusingan pertama sentiasa sengit, pada set kedua saya berasa lebih tertekan. Saya akan berdepan seorang lagi pemain Thailand, dan adalah sukar apabila berdepan kebanyakan daripada mereka (pemain Thailand) kerana mereka bagus ketika melakukan serangan.

“Saya dapat merasakan aksi seterusnya akan menjadi sengit. Saya mempunyai satu hari rehat dan berharap dapat mempamerka­n permainan terbaik pada Khamis ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Sementara itu, juara bertahan dari China, Lin Dan turut menempah slot ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan mudah ke atas Vincent Wong dari Hong Kong, namun rakan senegarany­a Chen Long tersingkir daripada kejohanan berkenaan selepas tumpas kepada Kantaphon Wangcharoe­n dari Thailand.

Lin Dan hanya mengambil masa 37 minit untuk menewaskan Wong, 21-17, 21-8, dan beliau dijadual bertemu rakan senegarany­a Shi Yuqi pada pusingan seterusnya selepas pemain China itu mengalahka­n Rajiv Ouseph dari England, 24-22, 21-17 pada Selasa.

“Shi Yuqi adalah pemain terbaik (dalam kalangan pemain China) musim ini. Beliau masih muda serta bertenaga, dan sentiasa memberikan keputusan yang bagus kepada pasukan tahun ini. Pemain muda sentiasa akan memberikan saingan sengit dan konsisten,” kata Lin Dan.

Dalam pada itu, Wangcharoe­n yang mengejutka­n Chen Long 23-21, 21-5, akan berdepan Tommy Sugiarto dari Indonesia pada pusingan kedua.

Pemain Thailand itu berkata menewaskan pemain bertaraf dunia sesuatu pencapaian yang hebat dalam kariernya.

Wangcharoe­n yang diletakkan selaku pemain bukan pilihan berkata beliau berpuas hati dengan prestasiny­a dan berharap dapat mengekalka­n konsistenn­ya itu sepanjang kejohanan tersebut.

“Semua tahu Chen Long antara pemain terbaik dunia. Saya hanya memberikan yang terbaik dan berusaha keras mendapatka­n setiap mata dan saya berjaya melakukann­ya. Selepas ini lawan semakin hebat dan saya perlu sentiasa bersedia dan bermain dengan baik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia