Utusan Borneo (Sabah)

Keputusan seri tidak jejaskan Felda United

-

MARAN: Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan oleh Felda United ketika berhadapan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi Liga Premier di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini malam tadi tidak menjejaska­n sasaran pasukan itu untuk merebut gelaran juara Liga Premier musim ini.

Pengendali Felda United, B. Satiananth­an berkata skuad bimbingann­ya masih berada di landasan yang betul dan mempunyai peluang cerah untuk memenuhi sasaran berkenaan.

“Kita memiliki sekurang kurangnya empat peluang untuk mencipta jaringan tetapi pihak lawan pula yang menyumbat gol menerusi penalti semasa perlawanan.

“Kemudian pemain kita (Wan Zack Haikal Wan Nor) menerima kad merah dan ini menjejaska­n rentak permainan sebelum kita akhirnya berjaya bangkit selepas ketinggala­n.

“Walaupun berakhir dengan seri, saya terpaksa gembira dengan dua gol itu kerana Felda United kekal di puncak liga,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam Rabu.

Satiananth­an berkata JDT II juga dilihat tampil sebagai sebuah pasukan berkaliber untuk menyekat kemaraan The Fighters pada perlawanan malam tadi selain beberapa keputusan pengadilan yang dilihat kurang memuaskan.

“Banyak hal yang berlaku di atas padang sebagai contoh perlawanan banyak dihentikan dan masa tambahan lima minit yang diberikan ... mungkin kita akan buat bantahan rasmi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT II, Benjamin Mora berkata beliau agak terkilan apabila hanya seri dengan Felda United kerana mereka bermain lebih baik berbanding pasukan tuan rumah. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia