Utusan Borneo (Sabah)

Tangan, kaki diikat

Wanita ditemui mati dipercayai dibunuh Polis masih menyiasat motif kejadian Kesan lebam di muka dan badan mangsa

-

SIBU: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh dengan tangan dan kaki diikat dalam satu kejadian yang belum diketahui motifnya di kediamanny­a di Pulau Kerto dekat sini, malam Rabu.

Mayat Ting Poh Sing, 58, ditemui oleh kakaknya, Ting Poh Ing dan anaknya, ketika mereka berkunjung ke rumah tersebut yang hanya didiami oleh mangsa dan ibunya, 85, sekitar jam 7.10 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pengadu dan anaknya yang berkunjung ke situ mendapati mangsa terbaring di atas lantai di dalam bilik tengah rumah berdekatan dapur.

“Mereka terkejut apabila mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di lantai bilik dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mulut ditutup dengan tuala,” katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Stanley berkata, mangsa mengalami kecederaan dengan kesan lebam di bahagian muka serta badan dan dipercayai telah dibunuh berdasarka­n keadaan bilik yang berselerak.

Sejurus itu katanya, kakak mangsa terus ke Balai Polis Lanang untuk membuat laporan polis.

“Sehingga kini, polis masih menjalanka­n siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Katanya, siasatan awal pihak polis mengesyaki suspek masuk melalui pintu belakang rumah yang berada dalam keadaan terbuka.

Menurut Stanley, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans pada jam 9.15 malam.

Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tujuan bedah siasat.

 ??  ?? MAYAT mangsa diusung masuk ke dalam kenderaan polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu.
MAYAT mangsa diusung masuk ke dalam kenderaan polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu.
 ??  ?? ANGGOTA polis berada di rumah mangsa untuk melakukan siasatan.
ANGGOTA polis berada di rumah mangsa untuk melakukan siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia