Utusan Borneo (Sabah)

Ibu temui ajal di tangan anak

-

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan wanita di sebuah jabatan di bawah Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menemui ajal dipercayai dibunuh anaknya yang bermasalah mental dalam satu kejadian di Taman Warisan Indah, Kota Warisan, Sepang malam Selasa.

Menurut sumber Facebook jabatan terbabit, mangsa ialah bekas Ketua Pengarah Jabatan Perlindung­an Data Peribadi, Khalidah Mohd Darus yang baru beberapa bulan bersara wajib.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali yang mengesahka­n kejadian itu berkata seorang suspek, 25 tahun, telah ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di tempat kejadian pukul 8.30 malam tadi untuk membantu siasatan dan dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaa­n pakar psikitrik.

“Semasa kejadian hanya mangsa dan suspek sahaja berada di rumah manakala abang sulungnya di tempat kerja... bapanya hanya pulang ke rumah pada setiap hujung minggu kerana bekerja di Johor Bahru.

“Suspek memang mempunyai masalah kesihatan mental sejak dilahirkan dan perlu menjalani rawatan dan makan ubat setiap hari untuk mengawal masalah mental yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa disyaki diserang oleh suspek berdasarka­n terdapat kesan pergelutan di dinding pintu masuk ke rumah dan kesan darah di bahagian dalam tepi sofa di ruang tamu.

Beliau berkata mangsa didapati mengalami kesan lebam-lebam pada bahagian kedua-dua belah tangan, lebam di bahagian perut, gigi patah dan bibir lebam dan berdarah kesan hentakkan kuat manakala hidung disyaki patah dan berdarah serta luka kecil di dahi.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 320 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia