Utusan Borneo (Sabah)

Tumpuan pembinaan kompleks sukan di enam bahagian

- Oleh VITALIS G BINGKASAN

KOTA KINABALU: Menteri Belia Dan Sukan, Frankie Poon berkata, kementeria­nnya tidak membina kompleks mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi memberi tumpuan mengikut enam bahagian.

Enam bahagian itu adalah Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Sandakan dan Tawau.

Menurutnya, kompleks sukan telah dibina di beberapa daerah di bahagian berkenaan dan penggunaan­nya boleh dikongsi oleh daerah-daerah berhampira­n.

Frankie berkata demikian semasa menjawab soalan Robert Tawik (Star-Bingkor) pada sesi soal jawab Persidanga­n DUN, di sini pada Rabu.

Robert bertanya, bilakah kerajaan akan membina Mini Kompleks Sukan untuk DUN N.33 Bingkor.

Bingkor adalah salah satu daerah di bahagian Pedalaman Atas yang kini sudah mempunyai kompleks sukan di Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan.

“Kompleks Sukan Keningau telah dibangunka­n untuk kegunaan masyarakat daerah Keningau termasuk kawasan Bingkor,” kata Frankie.

Bahagian Pantai Barat Selatan pula telah ada kompleks sukan di Kota Kinabalu, Penampang serta Ranau dan dalam perancanga­n akan datang adalah kompleks sukan di Papar, Tuaran dan Bongawan.

Bahagian Pantai Barat Utara pula mempunyai kompleks sukan di Kudat serta Kota Belud dan dalam perancanga­n adalah kompleks sukan di Kota Marudu manakala di bahagian Pedalaman Bawah telah ada kompleks sukan di Beaufort dan Sipitang sementara Kuala Penyu dalam perancanga­n.

Bahagian Sandakan pula telah memiliki kompleks sukan di Sandakan dan Beluran manakala Kinabatang­an dan Tongod dalam perancanga­n sementara di bahagian Tawau telah ada kompleks sukan di Tawau, Lahad Datu serta Semporna dan dalam perancanga­n akan datang adalah pembinaan Kompleks Sukan Kunak.

Frankie berkata, kementeria­nnya melalui Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) akan memastikan agar kemudahan-kemudahan sukan negeri ini dinaiktara­f dari masa ke semasa bagi menggalakk­an sekaligus menampung keperluan penggunaan pelbagai acara sukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia