Utusan Borneo (Sabah)

Jualan tiket akhir Piala FA lembap

-

SHAH ALAM: Penjualan tiket bagi perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam di sini, Rabu, didapati lembap dan kurang mendapat sambutan terutama daripada penyokong pasukan Selangor yang mungkin menerima tempias kehangatan Piala Dunia 2018 ketika ini.

Rata-rata penyokong the Red Giants yang ditemui Bernama berkata, senario seperti ini adalah yang pertama buat mereka memandangk­an kebiasaann­ya sebelum ini kesemua tiket untuk final Piala FA yang diperuntuk­kan kepada satu-satu pasukan habis dijual kurang dua jam sebaik sahaja kaunter tiket dibuka pada hari pertama jualan.

Seorang penyokong pasukan Selangor, Abd Hamid Ahmad, 42, dari Pelabuhan Klang berkata suasana penjualan tiket yang agak lengang kali ini di Stadium Shah Alam mungkin disebabkan oleh demam Piala Dunia 2018.

“Saya datang ke Stadium Shah Alam kira-kira pukul 9.30 pagi tadi yang mana saya lihat rata-ratanya 20 hingga 30 orang sahaja yang menunggu membeli tiket.

“Ini berbeza dengan perlawanan berprestij melibatkan Selangor sebelum ini apabila sebahagian besar penyokong Selangor tiba pada awal pagi dan ada antara mereka terpaksa pulang hampa setelah kesemua tiket habis dijual dalam tempoh beberapa jam selepas itu,” katanya.

The Red Giants berdepan Pahang pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Abd Hamid yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Shah Alam berkata jualan tiket yang tidak serancak sebelum ini memudahkan beliau membeli sejumlah 60 tiket dewasa berharga RM50 sekeping dan lapan tiket kanak-kanak berharga RM5 sekeping.

Sebelum ini, katanya, beliau terpaksa beratur bergilir-gilir dua hingga tiga kali bersama anaknya semata-mata untuk membeli tiket Piala FA dalam jumlah banyak yang mana seorang penyokong hanya boleh membeli lima keping tiket sahaja pada satu-satu masa.

Seorang lagi penyokong tegar pasukan Selangor yang berniaga air di Stadium Shah Alam, Shahrul Aizat Zolkeple, 26, turut senada dengan Abd Hamid apabila pertama kali beliau menyaksika­n suasana agak lengang bagi penjualan tiket final Piala FA.

“Saya datang ke sini seawal 5.30 pagi tadi dan mendapati kira-kira 30 orang sahaja yang menunggu membeli tiket...jauh berbeza berbanding perlawanan sebelum ini di mana penyokong Selangor tunggu seawal sebelum subuh untuk beli tiket,” katanya.

Sementara itu, seorang penjual tiket di kaunter stadium berkenaan, Syed Muhazam Syed Abd Wadut, 39, berkata beliau terkejut dengan sambutan hambar pembelian tiket dalam kalangan penyokong juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Untuk perlawanan kali ini, setiap kaunter di stadium diperuntuk kirakira 1,500 tiket, sehingga pukul 10 pagi tadi, penjualan tiket di kaunternya tidak sampai 10 peratus selepas satu jam dibuka, katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia