Utusan Borneo (Sabah)

Calon PKR tanding PRK Sungai Kandis: Tun Dr Mahathir

-

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) akan menampilka­n calon daripada PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Kandis susulan kematian penyandang­nya, Mat Shuhaimi Shafiei, Isnin lalu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata setakat ini masih belum ada senarai pendek calon yang akan bertanding bagi kerusi berkenaan.

“Seorang daripada wakil rakyat kita meninggal di Sungai Kandis dan kita akan buat persiapan untuk adakan pilihan raya kecil dan calon PH adalah daripada PKR,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini pada Jumaat.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata untuk PRK Sungai Kandis, calon berkenaan akan menggunaka­n simbol dan bendera parti PKR.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini parti masih belum menerima senarai nama calon daripada PKR Selangor untuk PRK berkenaan.

“Sehingga kini kami belum terima nama-nama (calon). Sejurus setelah terima (senarai nama calon) pimpinan (PKR) pusat akan muktamadka­n dan kemudianny­a memaklumka­n dan dapat persetujua­n daripada pimpinan PH dan setelah itu barulah proses pengumuman (nama calon) dilakukan,” katanya.

Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 11.10 pagi akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang dengan majoriti 12,480 undi, mewakili PKR dalam pertanding­an empat penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.

Suruhanjay­a Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas mengenai PRK Sungai Kandis pada Isnin ini.

Sementara itu, mengulas isu pelantikan timbalan menteri pertahanan, Dr Mahathir berkata ia hanya akan dibuat selepas individu terbabit mengangkat sumpah jawatan senator di Dewan Negara.

“Ada (calon) tetapi tidak dapat dilantik waktu ini kerana dia bukan wakil rakyat. Kita perlu lantik (beliau) sebagai senator dahulu,” katanya.

Ditanya sama ada individu tersebut termasuk dalam tiga lagi anggota kabinet yang akan dilantik seperti yang dinyatakan sebelum ini, perdana menteri berkata perkara itu belum diputuskan.

Sebelum ini Dr Mahathir dilaporkan tidak menolak kemungkina­n jawatan timbalan menteri pertahanan itu akan diisi oleh senator.

Isnin lalu 13 lagi menteri dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan ikrar taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia