Utusan Borneo (Sabah)

Saham Priceworth diniaga tanpa hak pada 18 Julai

-

KUALA LUMPUR: Saham kumpulan pengurusan hutan lestari, Priceworth Internatio­nal Bhd akan diniagakan tanpa hak pada 18 Julai, bagi terbitan hak dua-untuk-satu boleh lepas bernilai RM102.37 juta dengan saham bonus.

Peruntukan sementara kelayakan hak akan mula diniagakan pada 23 Julai, dan dagangan berakhir pada 30 Julai.

“Hari terakhir jualan peruntukan hak adalah pada 27 Julai. Hari terakhir dan tempoh untuk penerimaan dan pembayaran hak pada 6 Ogos, dengan saham hak akan disenaraik­an di Bursa Malaysia pada 20 Ogos. Setiap dua saham hak akan layak mendapat saham bonus,” menurut syarikat itu dalam kenyataan.

Harga terbitan bagi saham hak ditetapkan sebelum ini pada lima sen setiap satu. Berdasarka­n harga pasaran semasa sebanyak 23 sen, harga tanpa hak secara teori kira-kira lapan sen, yang bermakna harga terbitan pada diskaun 37 peratus kepada harga tanpa hak secara teori.

Pada harga terbitan ini, Priceworth menjangka untuk menaikkan minimum RM102 juta, iaitu ke arah mengurangk­an hutang menjelang cadangan pengambila­lihan Unit Pengurusan Hutan 5 (FMU5).

Katanya terbitan hak itu telah ditaja jamin sepenuhnya oleh Am Investment Bank Bhd, RHB Investment Bank Bhd, Mercury Securities Sdn Bhd, MIDF Amanah Investment Bhd dan Kenanga Investment Bank Bhd.

Pemegang saham utama Priceworth turut memberikan janji mereka untuk melanggan bahagian mereka daripada terbitan hak.

Pemegang saham pada Mei telah meluluskan pelan untuk membayar RM260 juta bagi FMU5, konsesi pengurusan hutan lestari di Sabah yang dinilai sebanyak RM433.8 juta oleh Independen­t Firm of Valuers.

Priceworth turut memegang opsyen tunai yang jika dilaksanak­an akan mengurangk­an harga pengambila­lihan kepada RM235 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia