Utusan Borneo (Sabah)

FGV harap hubungan dua hala China-M’sia beri manfaat kepada industri minyak sawit

-

KUALA LUMPUR: Hubungan perdaganga­n dua hala antara China dan Malaysia diharap dapat dipertingk­at menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China, seterusnya memberi manfaat kepada industri minyak sawit, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd Datuk Zakaria Arshad.

Zakaria berkata lawatan tersebut yang dijangkaka­n Ogos ini, akan menambah baik hubungan perdaganga­n sedia ada antara kedua-dua negara.

Ditanya sama ada FGV akan menyertai lawatan tersebut, Zakaria berkata FGV masih belum mendapat maklumat daripada pejabat Perdana Menteri mengenainy­a.

“Kami berharap lawatan ini akan memberi manfaat kepada industri sawit,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Riang Ria 2018 anjuran FGV semalam.

Mengulas lanjut mengenai eksport minyak sawit keluaran syarikat ketiga terbesar di dunia itu berasaskan keluasan tanaman tersebut, Zakaria berkata pembelian pukal dari China telah berkuranga­n berikutan harga pasaran yang kompetitif di pasaran China dan Malaysia, selain saingan dari negara jiran, Indonesia.

“Penguasaan pasaran FGV di China berada dalam lingkungan 20 peratus hingga 30 peratus, dan kita dapati ia (penguasaan pasaran) telah mencatatka­n sedikit penurunan,” katanya.

Sementara itu, menjelaska­n mengenai operasi syarikat tersebut, beliau berkata usaha untuk mengkaji semua portfolio pelaburan sedang giat dijalankan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia