Utusan Borneo (Sabah)

Imigresen Sabah tahan wanita Indonesia disyaki terlibat aktiviti palsukan dokumen

-

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah menahan seorang wanita warga Indonesia kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memalsukan dokumen berkaitan urusan imigresen.

Wanita berumur 28 tahun itu adalah seorang daripada dua individu yang diperiksa di sebuah premis kedai runcit di Internatio­n Flat L, Batu 2.5, Jalan Utara, Sandakan, oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Sandakan pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari, pada Isnin.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Musa Sulaiman dalam kenyataann­ya pada Selasa berkata individu kedua iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang diperiksa dalam Ops Mega 3.0 (SERKAP) yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Azlan Shah Hashim itu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Wanita berkenaan pula ditahan di Pusat Tahanan Sementara Sungai Sibuga untuk tindakan lanjut.

Menurut Musa beberapa dokumen seperti lesen memandu antarabang­sa, salinan dokumen IMM13, borang permohonan Jabatan Pendaftara­n Negara, borang perakuan nikah termasuk borang perakuan nikah luar negara, buku pasport antarabang­sa Pakistan yang meragukan, surat permohonan masuk, sejumlah wang tunai, pemacu keras dan banyak lagi dokumen lain berkaitan dirampas daripada wanita dan lelaki berkenaan.

Turut dirampas kata Musa ialah beberapa peralatan seperti mesin pencetak, mesin pengimbas, kamera, dakwat dan beberapa kad berwarna putih yang belum diproses.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia