Utusan Borneo (Sabah)

Ucapan hari jadi daripada isteri, rakyat Malaysia paling dihargai: Tun Dr Mahathir

-

KUALA LUMPUR: Tidak perlu hadiah, cuma ucapan Selamat Hari Jadi sudah mencukupi.

Itulah permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada rakyat Malaysia sempena sambutan hari jadinya ke-93 pada Selasa.

“Mesej atau kenyataan hari jadi sahaja kepada saya. Itulah yang saya hargai sepenuhnya,” katanya dalam satu temubual bersama Bernama Radio pagi Selasa.

Negarawan yang menjadi perdana menteri Malaysia ketujuh selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas turut berseloroh berkata beliau adalah pelupa dan tidak pernah mengingati hari lahirnya sendiri.

Namun isteri tercinta Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali merupakan insan yang selalu akan mengingati hari istimewa beliau itu.

“Saya ni pelupa, hari jadi saya pun saya tak ingat. Tapi isteri saya tak pernah lupa. Pagi-pagi dia bagi tahu kepada saya, Selamat Hari Jadi. Jadi saya pun selamat la, saya pun celebrate la.

“Kalau nak harapkan kepada saya, hari jadi saya pun saya tak ingat,” katanya.

Katanya sajian pulut kuning dan rendang daging juga menandakan hari istimewa tersebut. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia