Utusan Borneo (Sabah)

Raja Bahrin lapor SPRM tiga projek mega terbengkal­ai di Terengganu

-

PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membuat laporan kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat tiga projek mega terbengkal­ai di Terengganu yang bernilai hampir RM1 bilion.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu berkata projek mega itu ialah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak; Taman Ilmu di Tembila, Besut; dan Kompleks Bebas Cukai Kenyir yang dibangunka­n dengan kos antara RM300 juta dan RM320 juta setiap satu.

“Tiga projek mega ini hampir RM1 bilion mengikut kos asal, jadi hampir 10 tahun projek ini terbengkal­ai rosak dan ada kecurian berlaku, maka termasuk kos pembaikan mungkin boleh mencecah RM1.3 bilion,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM, di sini pada Selasa.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata beliau menyerahka­n beberapa dokumen kepada SPRM mengenai ketiga-tiga projek tersebut termasuk laporan terperinci siasatan insiden bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada 2009.

Menurutnya, masalah yang dihadapi ketiga-tiga projek itu melibatkan urus tadbir yang amat lemah serta cuai, pengurusan kontrak lemah, pengawasan pembinaan tidak betul serta kerosakan berterusan disebabkan kecurian dan vandalisme berikutan pengawasan keselamata­n tapak yang lemah.

Menurut Raja Kamarul Bahrin Shah, laporan mengenai projek stadium tersebut pernah dibuat di SPRM Terengganu sebelum ini namun pihaknya tidak mendapat apa-apa maklum balas mengenai kes itu.

Menurutnya, isu ketigatiga projek yang dilaksanak­an semasa pentadbira­n kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu juga telah disuarakan kepada kerajaan negeri Terengganu yang baharu pimpinan PAS kirakira sebulan lepas namun masih belum menerima maklum balas.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata kerajaan PH tidak berhasrat untuk membalas dendam kepada kerajaan terdahulu, namun isu tersebut perlu diselesaik­an untuk membaiki budaya kerja dan tadbir urus kerajaan bagi membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia