Penyelamat Thai lancar misi lebih mencabar
Yang terakhir untuk lima lagi selepas lapan diselamat dalam dua operasi selama dua hari berturut-turut
“Mereka masih dikuarantin daripada ibu bapa mereka kerana risiko jangkitan dan kemungkinan akan ditahan di hospital selama seminggu untuk menjalani ujian.
Kata pegawai
CHIANG RAI: Lapan budak lelaki pertama yang diselamatkan dari sebuah kompleks gua Thai berada dalam keadaan kesihatan yang baik pada keseluruhannya dan ada yang meminta roti coklat untuk sarapan, kata pegawai semalam manakala penyelamat memulakan misi terakhir yang ketiga dan lebih mencabar untuk membebaskan lima lagi yang masih tinggal.
“Buat masa sekarang, tiada keadaan yang membimbangkan, semua orang selamat,” kata setiausaha tetap kementerian kesihatan Thailand, Jesada Chokdamrongsuk, kepada pemberita.
Dua budak terbabit disyaki mengalami jangkitan paruparu tetapi keempat-empat budak daripada kumpulan pertama yang diselamatkan berjalan di sekeliling katil mereka di hospital.
“Budak-budak itu pemain bola sepak, kuat dan mempunyai imuniti tinggi,” kata Jesada apabila ditanya kenapa mereka dapat terus hidup begitu lama.
Budak-budak itu mempunyai selera yang baik tetapi amnya diberi makanan tidak ada rasa yang mudah dihadam. Bagaimanapun doktor kemudian akur setelah beberapa budak meminta roti dengan perisa coklat.
Mereka masih dikuarantin daripada ibu bapa mereka kerana risiko jangkitan dan kemungkinan akan ditahan di hospital selama seminggu untuk menjalani ujian, kata pegawai.
Empat lagi budak dibawa keluar dengan usungan dari gua Tham Luang dekat sempadan Myanmar pada waktu senja kelmarin, menjadikan lapan jumlah yang sudah dibawa keluar setakat ini selepas dua usaha menyelamat selama dua hari berturut-turut.
Ketua operasi Narongsak Osottanakorn berkata operasi terakhir dijangka “lebih mencabar” kerana lebihan seorang mangsa selamat akan dibawa keluar berbanding dalam dua operasi sebelum ini, bersama tiga anggota SEAL Tentera Laut yang mengiringi mereka.
Penyelamat belajar daripada pengalaman dan dua jam lebih cepat ketika membawa keluar kumpulan mangsa selamat kedua kelmarin.
Bagaimanapun hujan monsun yang bertaburan masih berisiko menyerapi dinding gua batu kapur untuk memenuhi terowong dengan air.
“Saya harap hari ini kita le-bih laju atau selaju semalam,” kata Narongsak.
Sepasukan penyelam asing dan anggota SEAL Tentera Laut Thai membimbing budak-budak berkenaan dalam operasi selama sembilan jam menerusi saluran gelap-gelita yang kadangkadang ditenggelami air hampir sepanjang 4 kilometer dari mana mereka telah terperangkap selama lebih dua minggu.
Rakyat di seluruh Thailand menyorak operasi menyelamat itu, termasuk di sekolah Mae Sai Prasitsart di mana enam daripada budak-budak yang terperangkap adalah pelajar.
“Saya sangat gembira mengenai mereka yang sudah berjaya keluar dan saya rasa semua orang akan keluar pada hari ini,” kata Waranchit Karnkaew, 14, yang turut menyatakan budakbudak yang gila bola itu telah mengikuti perlawanan di Piala Dunia di Rusia sebelum mereka terperangkap.
“Saya mahu membawa rakan-rakan saya makan tengah hari dan kami akan bermain bola sepak bersama,” katanya kepada Reuters.
Badan bola sepak dunia FIFA telah menjemput budak-budak terbabit ke perlawanan akhir Piala Dunia di Moscow pada Ahad akan datang.
Ini dijangka tidak mungkin memandangkan budakbudak terbabit perlu menjalani ujian lanjut.
Nasib budak terbabit dan jurulatih mereka telah menarik perhatian antarabangsa sejak mereka terperangkap apabila mereka memasuki gua selepas latihan bola sepak pada 23 Jun lalu.
Penyelam, jurutera, medik dan lain-lain telah tiba dari seluruh dunia untuk memberi bantuan.
Bilionair teknologi Elon Musk memasuki gua berkenaan kelmarin dan meninggalkan sebuah kapal selam “saiz budak” yang telah dibuat oleh syarikatnya SpaceX, kata Menteri Dalam Negeri Thailand Anupong Paochinda.
Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha melawat gua berkenaan untuk memeriksa operasi dan dipetik oleh Narongsak sebagai berkata beliau tidak mahu melihat insiden seperti ini berlaku lagi di bumi Thai. — Reuters