FedEx Malaysia tingkat keupayaan operasi dengan Boeing 767
KUALA LUMPUR: FedEx Express (FedEx), subsidiari syarikat pengangkutan ekspres terbesar di dunia, FedEx Corp, telah menaik taraf perkhidmatannya di Malaysia melalui pengenalan pesawat kargo Boeing 767-300 Freighter (B767F).
“Pengangkut kargo ini akan mengukuhkan lagi keupayaan penghantaran keluar dan masuk Malaysia, menyediakan sambungan ke 20 bandar utama Asia, meningkatkan hubungan ke pusat perdagangan utama di rantau ini, di samping memudahkan perkhidmatan penghantaran dua hala ke Amerika Syarikat dan Eropah,” kata FedEx Malaysia dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, B767F mempunyai kapasiti kargo 106,000 paun, berbanding dengan pesawat Boeing B757-200F sebelumnya yang hanya menampung 60,000 paun.
Hasil penggunaan B767F ialah peningkatan kapasiti 75 peratus dan kenaikan 30 peratus kecekapan bahan bakar, katanya.
Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia SC Chong berkata, pengenalan perkhidmatan B767F adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang FedEx untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan di Malaysia, melalui peningkatan keupayaan yang berterusan.
“Dengan pertumbuhan industri tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana di Lembah Klang, kecekapan operasi B767F akan membolehkan kami memenuhi peningkatan jumlah import dan eksport ke Malaysia,” tambah Chong. — Bernama