BNM kekalkan OPR pada 3.25 peratus
Tahap akomodatif dasar monetari sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan
“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik BNM” dan inflasi. Kenyataan
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalamannya (OPR) pada 3.25 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan semalam.
Bank pusat dalam satu kenyataan semalam berkata pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan.
“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” kata BNM.
Mesyuarat MPC itu adalah yang keempat diadakan tahun ini dan kali pertama dipengerusikan oleh gabenor yang baharu dilantik Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
BNM berkata, ekonomi Malaysia terus berkembang pada separuh tahun pertama 2018, disokong oleh aktiviti sektor swasta serta rangsangan tambahan daripada eksport bersih
Prestasi pertumbuhan yang positif dijangka terus mampan, didorong permintaan dalam dan luar negeri.
“Penggunaan swasta akan disokong oleh peningkatan yang berterusan dalam upah dan guna tenaga, dengan sokongan tambahan daripada perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi ekoran kelepasan cukai.
“Manakala aktiviti pelaburan dijangka mendapat sokongan daripada penambahan kapasiti pengeluaran, terutamanya oleh industri berorientasikan eksport dan projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan khususnya dalam subsektor pengangkutan dan utiliti,” kata bank pusat itu.
Sektor luaran akan terus mendapat manfaat daripada momentum pertumbuhan global yang terus mampan dan prospek pertumbuhan negara akan menjadi bertambah baik apabila dasar dalam negeri yang semakin jelas pada bulan-bulan yang akan datang.
“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh,” kata bank pusat.
BNM berkata, inflasi keseluruhan bagi 2018 dijangka lebih rendah daripada unjuran yang dibuat sebelum ini selepas mengambil kira kesan langkah-langkah dasar barubaru ini terhadap faktor kos domestik.
“Kesan langkah-langkah tersebut ke atas inflasi dijangka bersifat sementara. Inflasi keseluruhan mungkin mencatat pertumbuhan negatif dalam beberapa bulan dan kekal rendah pada separuh pertama 2019 sebelum meningkat semula berikutan luputnya kesan faktor-faktor sementara ini.
“Inflasi teras dijangka kekal stabil secara relatif, sejajar dengan permintaan dalam negeri yang mampan,” kata bank pusat.
BNM berkata, prospek ekonomi dalam negeri yang positif, sektor kewangan teguh dan lebihan akaun semasa imbangan pembayaran yang semakin meningkat akan terus menyokong asas-asas ekonomi Malaysia.
“Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan meskipun terdapat aliran keluar portfolio bukan pemastautin. Kadar pertukaran ringgit akan lebih mencerminkan asas-asas ekonomi apabila ketidakpastian luaran dan domestik berkurang
“Meskipun terdapat kemudahruapan pasaran kewangan yang ketara, keadaan monetari dan kewangan domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi,” kata bank pusat. — Bernama