MAHB catat pertumbuhan trafik penumpang tertinggi pada Jun
KUALA LUMPUR: Pergerakan penumpang di semua lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (SGIA), meningkat 9.5 peratus tahun ke tahun kepada 11.2 juta pada Jun — pertumbuhan tertinggi setakat tahun ini.
Pengendali lapangan terbang itu menyifatkan perkembangan itu disebabkan oleh musim cuti bersempena Hari Raya Aidilfitri serta cuti sekolah selama dua minggu di negara ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata sektor domestik dan antarabangsa mencatat pertumbuhan masingmasing sebanyak 9.0 peratus dan 10 peratus.
Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, aliran penumpang merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus dengan pergerakan penumpang sebanyak 64.9 juta.
Sektor antarabangsa berkembang pada kadar lebih pantas — 8.3 peratus berbanding domestik yang mencatat pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus, kata syarikat itu.
Bagi tempoh di bawah kajian, Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan k l ia 2 masing-masing merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus dan 12.5 peratus tahun ke tahun manakala jumlah pergerakan penumpang di lapangan terbang di Istanbul meningkat sebanyak 9.1 peratus.
Mengulas prospek masa depan, MAHB berkata usaha pengisian tempat duduk pesawat bagi tempoh enam bulan akan datang menunjukkan aliran yang sederhana bagi pergerakan antarabangsa selain minat pelancongan domestik yang ketara di Malaysia.
“Jangkaan peningkatan perjalanan udara menjelang serta pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 terbukti di bawah jangkaan. Oleh itu, dengan mengambil kira pengisian tempat duduk yang lebih sederhana, pertumbuhan bagi tempoh enam bulan berikutnya juga dijangka lebih menyederhana,” katanya.
Sementara itu, pergerakan penumpang di SGIA Istanbul bagi separuh pertama tahun ini meningkat sebanyak 12.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. — Bernama