Utusan Borneo (Sabah)

Siasatan pembelian kapal selam Scorpene berjalan lancar

-

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang kontrovers­ial berjalan lancar dengan kedua-dua pihak berkuasa dalam bidang kehakiman Malaysia dan Perancis mengendali­kan kes itu, kata Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frédéric Laplanche.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini berhubung isu itu, yang menjadi lebih utama dalam kalangan rakyat Malaysia sejak dua bulan kebelakang­an ini susulan pilihan raya umum lepas, Laplanche berkata kerjasama antara kedua-dua pihak adalah lancar.

“Kerjasama antara pihak berkuasa kehakiman di Perancis dan Malaysia amat baik. Mereka telah berhubung dengan Peguam Negara Malaysia yang baharu mengenai semua isu berkaitan persoalan pada masa lampau dan saya dapat merasakan kesediaan yang kuat untuk menjalin kerjasama di keduadua pihak.

“Isu-isu ini sedang ditangani dan dikendali oleh pihak yang kompeten,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini, yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Perancis pada 14 Julai.

Bagaimanap­un, Laplanche berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut isu itu kerana ia berada di bawah bidang kehakiman Perancis, yang merupakan badan bebas di negara tersebut.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata bulan lepas bahawa penubuhan sebuah pasukan petugas akan dibincang dalam Kabinet bagi menyiasat dakwaan rasuah membabitka­n pembelian dua kapal selam Perancis pada 2002 ketika bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan.

Pada 2002, Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir 1 bilion (US$1.17 bilion).-

 ??  ?? FREDERIC menjawab soalan media ketika sesi temubual khas di pejabatnya baru-baru ini.
FREDERIC menjawab soalan media ketika sesi temubual khas di pejabatnya baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia