Utusan Borneo (Sabah)

Keluarga J. Soosaimani­cckam tuntut penjelasan TLDM punca sebenar kematian

-

PETALING JAYA: Keluarga Pegawai Kadet Graduan (PKG) J. Soosaimani­cckam menuntut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia memberi penjelasan terperinci berhubung kematian PKG tersebut semasa menjalani latihan di atas KD Sultan Idris, Lumut pada Mei lalu.

Peguam keluarga mendiang N. Surendran berkata timbul kemusykila­n berhubung punca kematian Soosaimani­cckam memandangk­an laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair sedangkan laporan perubatan sebelum menjalani latihan menyatakan mendiang seorang yang sangat sihat.

“Sehingga kini tiada sebarang penjelasan yang diberi pihak TLDM dan tiada jawapan daripada pihak polis yang sepatutnya menyiasat kes ini lebih lanjut,” katanya kepada pemberita di pejabat Lawyers for Liberty (LFL), di sini pada Khamis.

Penasihat LFL itu mendakwa kematian Soosaimani­cckam, 27, mempunyai unsur jenayah berdasarka­n dokumen dan bukti yang diperoleh daripada anak guamnya.

Soosaimani­cckam disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang, 19 Mei lalu di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Sebelum itu mangsa mengadu sakit dada dan sesak nafas ketika berada di blok penginapan­nya selepas selesai menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih pada 12.20 tengah hari.

Portal berita tempatan pada 20 Mei lalu melaporkan Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman sebagai berkata siasatan forensik mendapati mangsa meninggal dunia akibat paruparu berair dan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal.

Susulan itu keluarga mangsa membuat laporan polis sehari selepas beliau meninggal dunia (20 Mei) dan laporan kedua pada 1 Julai lalu menuntut pihak polis mengambil tindakan sewajarnya dan penjelasan yang lebih terperinci.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia