Utusan Borneo (Sabah)

MSM, CSR komited hasilkan gula berkualiti tinggi

-

KUALA LUMPUR: Pengeluar gula tempatan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) komited untuk mewujudkan persekitar­an yang stabil bagi pengguna dan mengekalka­n piawaian tertinggi kualiti gula walaupun pada harga kawalan semasa.

MSM di bawah FGV Holdings Bhd dan CSR di bawah Tradewinds (M) Bhd mempunyai lima kilang penapisan gula termasuk di Tanjung Langsat dan Pasir Gudang, Johor, yang dijadual beroperasi bulan ini.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua syarikat itu berkata kapasiti terkini gula bagi empat kilang penapisan sedia ada ialah dua juta tan metrik setahun, dengan permintaan tahunan dianggarka­n 1.5 juta tan metrik, sekali gus menawarkan lebihan kapasiti 500,000 tan metrik setahun.

Menurut syarikat itu, sebaik sahaja kilang penapisan gula baharu di Johor beroperasi sepenuhnya, jumlah kapasiti akan meningkat kepada tiga juta tan metrik setahun, yang mewujudkan persaingan yang kompetitif dengan jenama gula yang diimport seperti SIS, Taikoo, Waitrose, Billington dan Tate & Lyle.

Pengeluar gula tempatan beroperasi dalam iklim perniagaan yang mencabar bagi memastikan penawaran gula yang mencukupi untuk kegunaan rakyat selain mengekalka­n simpanan stok gula negara.

“Harga gula diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (Penentuan Harga Maksimum – No 2, Perintah 2017) dengan Malaysia antara negara yang menawarkan harga paling rendah di dunia dengan ketika ini harga syiling bagi gula pasir kasar ialah RM2.95 sekilogram, manakala gula pasir halus RM3.05 sekilogram.

“Harga gula di Malaysia lebih murah berbanding negara lain yang mempunyai pendapatan per kapita rendah seperti Kemboja, Myanmar dan Indonesia, malah lebih murah daripada negara pengeluar seperti Thailand, Indonesia dan Filipina,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia