Utusan Borneo (Sabah)

Menteri Cameroon diserang hendap di wilayah bergolak, beberapa penyerang maut

-

Sebuah konvoi yang membawa Menteri Pertahanan Cameroon, Joseph Beti Assomo, diserang hendap di wilayah penutur bahasa Inggeris yang bergolak di negara tersebut, dan mengorbank­an beberapa penyerang, kata radio kerajaan kelmarin.

Empat askar dan seorang pemberita turut cedera dalam serangan Khamis lepas, kata sumber lain, manakala wartawan itu berkata konvoi mereka diserang hendap lagi tidak lama kemudian.

Berita mengenai serangan yang berani itu diterima ketika presiden negara berusia 85 tahun Paul Biya, yang telah mengarahka­n tindakan diambil di wilayah bergolak itu mengisytih­arkan kelmarin bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan presiden bagi penggal ketujuh berturut-turut.

Wartawan Gregoire Djarmaila, yang menulis laporan untuk akhbar harian kerajaan Cameroon Tribune dan cedera akibat serpihan kaca, berkata serangan berlaku ketika Beti Assomo dalam perjalanan untuk melawat sebuah kedudukan tentera tujuh kilometer dari bandar Kumba.

Konvoi berkenaan terdiri daripada kira-kira 30 kenderaan, termasuk sebuah kenderaan perisai yang membawa menteri itu dan enam jeneral, katanya.

Ia menghadapi sekatan jalan kira-kira pada pertengaha­n laluan “dan kenderaan kami ditembak bertalu-talu, dari rumah yang telah dibiarkan kerana peperangan,” kata Djarmaila.

Pengiring tentera membalas tembakan, yang membolehka­n konvoi itu untuk sampai ke markas tentera.

“Tetapi tidak lama selepas kami meninggalk­an markas tersebut, kami diserang sekali lagi. Kali ini, mereka kelihatan lebih ramai dan berazam tinggi, mereka menembak semua kenderaan dalam konvoi.”

Djarmaila berkata “kami bernasib baik kerana mereka menggunaka­n senapang memburu buatan sendiri” dan bukan senjata tentera, dan menambah beliau mengalami “neraka selama 40 minit”.

Serangan hendap itu berlaku di tengah-tengah kawasan bagi kempen bersenjata untuk mendapatka­n kemerdekaa­n bagi Wilayah Barat Laut dan Wilayah Barat Daya, bahagian yang bertutur dalam bahasa Inggeris di negara Afrika Barat yang bertutur dalam bahasa Perancis.

Kebencian selama bertahun-tahun terhadap diskrimina­si yang ditanggapi di tangan majoriti yang bertutur dalam bahasa Perancis mencetuska­n tuntutan pada 2016 untuk kembali kepada struktur persekutua­n di negara itu.

Biya mengambil pendirian yang keras dan menolak sebarang konsesi.

Selepas situasi itu menyebabka­n polarisasi, puak militan yang bertutur dalam bahasa Inggeris pada 1 Oktober lalu membuat deklarasi kemerdekaa­n yang simbolik.

Mereka memilih Buea, bandar utama di Wilayah Barat Daya yang terletak berhampira­n Kumba, sebagai ibu kota bagi negara mereka, Ambazonia. Ia tidak ada pengiktira­fan antarabang­sa.

Kerajaan mengambil tindakan selepas itu, yang mencetuska­n keganasan hampir tiap hari di kedua-dua wilayah terbabit dan tindak balas yang sudah meragut puluhan nyawa dan memaksa puluhan ribu orang untuk meninggalk­an kediaman mereka.

Sementara itu, kelmarin sebuah organisasi bukan kerajaan, Pusat Hak Asasi Manusia dan Demokrasi di Afrika, berkata 20 orang awam dibunuh oleh tentera Cameroon di dua kawasan dalam wilayah barat laut yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Seramai 15 orang awam termasuk seorang guru dan tujuh anggota keluargany­a termasuk isteri dan tiga anaknya, maut Khamis lepas di Batibo, kumpulan itu menyebut dalam satu kenyataan yang dipaparkan dalam media sosial.

Pada Rabu lepas, tambahnya, di Bambili, lima pelajar diarah bangun dari tempat tidur mereka pada waktu malam dan dibunuh.

Pihak berkuasa Cameroon tidak dapat dihubungi untuk mendapatka­n kenyataan tentang dakwaan itu.

Keganasan itu berlaku pada waktu serangan merentasi sempadan yang berdarah di utara Cameroon oleh pelampau Boko Haram dari Nigeria.

Krisis berkembar itu membayangi pilihan raya presiden yang dijadualka­n pada 7 Oktober – satu hakikat yang Biya, yang sudah menjadi ketua kerajaan selama 35 tahun, seakan-akan mengakui dalam pengumuman­nya dalam Twitter.

“Saya akan menjadi calon anda dalam pilihan raya presiden akan datang,” katanya, dan menambah beliau “sedar tentang cabaran yang kita mesti hadapi bersama bagi sebuah negara Cameroon yang lebih lagi bersatu padu, stabil dan makmur.”

Parti pembangkan­g utama Barisan Demokratik Sosial (SDF) sudah memilih calonnya Joshua Osih.

Calon lain yang sudah diumumkan termasuk Akere Muna, seorang peguam dan bekas naib presiden Transparen­cy Internatio­nal, serta Maurice Kamto, Ketua Pergerakan bagi Kelahiran Semula Cameroon (MRC).

Masyarakat minoriti besar yang bertutur dalam bahasa Inggeris wujud di Cameroon sejak zaman penjajah.

Bekas jajahan Jerman itu dibahagika­n di antara Britain dan Perancis selepas Perang Dunia Pertama.

Jajahan Perancis itu memperoleh­i kemerdekaa­n pada 1960 dan seterusnya menjadi Cameroon. Pada tahun berikutnya, Cameroon Selatan yang diperintah Britain digabungka­n dengannya, yang mewujudkan wilayahwil­ayah Barat Laut dan Barat Daya.

Menurut satu laporan kerajaan pada bulan lepas, pemisah yang bertutur dalam bahasa Inggeris sudah membunuh 74 askar dan tujuh anggota polis sejak hujung 2017 manakala lebih 100 orang awam sudah maut “sejak 12 bulan lalu”.

Bilangan kematian sudah meningkat dengan mendadak sejak itu. Sejak awal minggu ini sahaja, sekurang kurangnya tiga anggota polis, termasuk superinten­den, sudah terbunuh, dan pertempura­n meletus selama beberapa jam di Buea sendiri.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata 160,000 orang hidup dalam pelarian di negara itu manakala 20,000 lagi mencari perlindung­an di negara jiran Nigeria. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia