Utusan Borneo (Sabah)

Dua buruh ditahan, dadah bernilai RM8,280 dirampas

-

SUNGAI PETANI:Dua buruh lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan manakala dadah jenis heroin seberat 405 gram yang dianggarka­n bernilai RM8,280, dirampas dalam serbuan pukul 10 pagi di sebuah rumah teres di Bandar Mutiara dekat sini, pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt. Sazalee Adam berkata, dalam serbuan itu, polis menemui satu beg plastik hitam mengandung­i 414 paket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk dadah di atas lantai di bilik utama rumah berkenaan.

“Polis menahan dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 29 dan 24 tahun direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 21 Julai bagi membantu siasatan.

“Sementara itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 29 tahun positif dadah jenis Methamphet­amine, manakala suspek berusia 24 tahun positif ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, pada Isnin.

Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek aktif dengan aktiviti pengedaran dadah sejak lima bulan lepas, dan kawasan tumpuan mereka ialah sekitar kawasan Flat Paya Nahu.

“Suspek berusia 29 tahun didapati mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983, manakala suspek berusia 24 tahun mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Paket kecil dadah terbabit dipercayai dijual pada harga RM20 setiap satu..polis masih menyiasat dari mana bekalan dadah ini diperoleh dan sama ada ia berkaitan dengan sindiket pengedaran dadah,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia