Utusan Borneo (Sabah)

Murid SK Sukau terpaksa belajar di bangunan bekas kantin

-

KINABATANG­AN: Seramai 54 murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau dekat sini terpaksa mengikuti sesi pembelajar­an di bangunan bekas kantin berstruktu­r kayu sekolah itu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sukau Takrin Abdullah berkata murid di sekolah itu mengikuti sesi pembelajar­an yang tidak selesa dan kondusif disebabkan kekurangan bilik darjah dan bangunan sekolah struktur kayu yang berkeadaan daif.

Beliau berkata ia turut menimbulka­n suasana pengajaran tidak selesa bagi 31 guru dan staf pentadbira­n yang bertugas di sekolah yang dibuka sejak 1952 itu.

“Sebagai bapa kepada murid sekolah ini dan penduduk Kampung Sukau, sudah tentu saya merasa sedih dengan prasarana di SK Sukau ini menyebabka­n murid belajar dalam keadaan serba kekurangan,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya bangunan di sekolah itu kebanyakan­nya daif kerana dinding dan lantai kayu yang sudah rosak serta pendawaian elektrik yang tidak selamat.

Takrin berkata sudah sampai masanya bangunan sekolah baharu dibina untuk murid sekolah itu yang bukan sahaja datang dari Kampung Sukau, malah juga dari Kampung Gomantong Jaya dan beberapa kawasan ladang kelapa sawit berhampira­n.

Dalam pada itu, Penolong Kanan SK Sukau Morsin Gaffar berkata pihak sekolah mengambil inisiatif menjadikan bangunan bekas kantin sekolah itu sebagai bilik darjah bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah.

Katanya menjadi cabaran kepada guru di sekolah untuk mengajar apabila setiap bilik darjah mempunyai bilangan murid yang ramai sehingga ada yang mencecah 36 orang.

“Cabaran itu mampu kami hadapi tetapi apa yang penting kami mengharapk­an murid di sekolah itu akan dapat mengikuti suasana pembelajar­an yang selesa dan kemudahan yang lengkap,” kata Morsin.

SK Sukau hingga kini menempatka­n seramai 433 murid, iaitu 358 merupakan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam, manakala 75 lagi adalah murid prasekolah. - Bernama

 ??  ?? BANGUNAN bekas kantin diubah suai menjadi dua kelas untuk menempatka­n 54 orang pelajar Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Sukau disebabkan kekurangan bilih darja, Jumaat.
BANGUNAN bekas kantin diubah suai menjadi dua kelas untuk menempatka­n 54 orang pelajar Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Sukau disebabkan kekurangan bilih darja, Jumaat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia