Utusan Borneo (Sabah)

Zawawi nafi melobi jadi calon PRK Sungai Kandis

-

SHAH ALAM: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menafikan dakwaan kononnya beliau melobi supaya namanya dicalonkan untuk bertanding pada PRK itu, 4 Ogos ini.

Sebaliknya, beliau yang mesra dipanggil Ustaz Zawawi berkata pemilihan itu dibuat berdasarka­n kepada sokongan akar umbi yang mahu dirinya bertanding dalam PRK tersebut.

“Saya tidak pernah melobi, bukan mudah untuk saya membuat keputusan ini berikutan mempunyai tanggungja­wab dan komitmen termasuk sebagai pengetua sebuah maahad tahfiz di sini.

“...tetapi disebabkan atas beberapa kepentinga­n parti akhirnya saya bersetuju untuk menerima pencalonan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.

Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Pusat itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak bahawa beliau melobi barisan pucuk pimpinan parti supaya dipilih sebagai calon pada PRK tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata beliau yakin dapat mempertaha­nkan kerusi tersebut berikutan sokongan yang diterima bukan sahaja daripada parti, malahan daripada penduduk tempatan di DUN berkenaan.

“Saya yakin dapat kekalkan kemenangan YB (Yang Berhormat) Mat Shuhaimi Shafiei dengan penerimaan semua pihak termasuk parti yang menerima saya sebagai calon.

“Saya bertekad sekiranya menang, saya akan menyelesai­kan beberapa isu pokok termasuk masalah longkang tersumbat, jalan rosak dan banjir yang sering melanda beberapa kawasan penempatan penduduk di sini,” katanya.

Malam Khamis, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumka­n pemilihan Mohd Zawawi sebagai calon, ketika majlis pelancaran jentera PKR di sini.

Wan Azizah berkata pemilihan pengetua Tahfiz Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu diharap akan dapat mengekalka­n kemenangan PKR di DUN tersebut.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian Mat Shuhaimi pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Penamaan calon ditetapkan hari ini.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia