Utusan Borneo (Sabah)

Mujahid minta jangan sensasikan isu agama

-

PARIT BUNTAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meminta agar pihak yang berkenaan tidak mensensasi­kan isu mengenai agama di negara ini.

Beliau berkata tindakan mereka itu semata-mata bertujuan merendahka­n kredibilit­i serta mahu menjatuhka­n kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya kerajaan perlu menjaga sensitivit­i berhubung kebebasan beragama kerana Islam tidak memaksa penganut agama lain selain termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n yang Islam adalah agama Persekutua­n manakala agama lain bebas diamalkan.

“Saya minta jangan disensasik­an dan saya sudah menjelaska­n kenyataan saya mengenai hifzal-din (menjaga agama) dan perkara itu tidak perlu lagi saya jelaskan.

“Malangnya masih ada pihak yang menggunaka­n isu itu yang seolah-olah saya melakukan dosa besar kononnya saya menyamarat­akan agama,” katanya pada sidang media selepas menyampaik­an sumbangan kepada 40 fakir miskin di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru baru ini yang mendesak agar Mujahid memberi jawapan berhubung kenyataan ‘menjaga agama’.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata agama lain perlu dihormati serta tidak boleh dianiaya, ditindas dan didiskrimi­nasi kerana perkara itu termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n berdasarka­n Perkara 3, 11 dan 8.

Beliau juga tidak menolak isu tersebut akan dibangkitk­an pembangkan­g dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis yang sedang berlangsun­g.

Sementara itu, Mujahid berkata kerajaan menyokong saranan Majlis Perundinga­n Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) agar sidang Parlimen yang sedang berlangsun­g membawa usul tergempar mengenai keadaan di Syria, Palestin dan Rohingya.

“Saya fikir tidak susah untuk membawa isu itu untuk dibahaskan di Parlimen dan selepas itu kerajaan boleh mengeluark­an kertas putih sebagai pendirian kerajaan terhadap isu berkenaan,” katanya.

Pada Sabtu, Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid dilaporkan menggesa kerajaan Malaysia menyatakan pendirian berhubung isu tersebut menerusi usul tergempar di Parlimen.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia