Utusan Borneo (Sabah)

Sarawak minta penjelasan berhubung 20 peratus royalti: KM

-

KUCHING: Kerajaan Sarawak meminta penjelasan daripada kerajaan persekutua­n berhubung bayaran 20 peratus royalti minyak yang dijanjikan kepada Sarawak termasuk negeri pengeluar lain.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, royalti dan keuntungan adalah tidak sama dan Sarawak mahu dapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

“Saya sudah cakap mengenai hal ini sebelum ini dan pendirian kita jelas iaitu kita mahu dapatkan penjelasan daripada mereka kerana royalti dan keuntungan adalah tidak sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaik­an ucaptama sempena Mesyuarat Jawatankua­sa Tertinggi Saberkas Negeri Ke-51 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Sabtu.

Pada persidanga­n Dewan Rakyat Khamis lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan memberi royalti kepada negeri pengeluar minyak termasuk Sarawak.

Pemberian royalti ini merupakan satu daripada janji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Bagaimanap­un, Tun Mahathir berkata, pemberian royalti tersebut akan dibuat berdasarka­n jumlah keuntungan yang diperolehi.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Kuala Lumpur baru-baru ini, Tun Mahathir menjelaska­n pemberian royalti 20 peratus ini akan dibuat berdasarka­n jumlah keuntungan yang diperoleh daripada negeri berkenaan.

“Royalti adalah daripada keuntungan. Jika untung RM100 juta, maka RM20 juta jadi royalti.

“Ia berdasarka­n keuntungan Petronas di sesuatu tempat. Maka apa yang kita kutip di Terengganu tidak akan dibayar kepada Sarawak dan Sabah,” kata Dr Mahathir pada sidang media tersebut.

Sarawak dalam pada itu bertegas untuk menuntut bayaran 20 peratus royalti ini berdasarka­n pengeluara­n dan bukannya keuntungan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia