Utusan Borneo (Sabah)

Peranan wanita kini berubah, semakin berkembang

-

LIMBANG: Kaum wanita melalui Persekutua­n Perkumpula­n Wanita Sarawak (PPWS) perlu terus berjuang mencapai sasaran 30 peratus sumbangan terhadap pembanguna­n negara dalam pelbagai bidang termasuk politik.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peranan wanita kini berubah dan semakin berkembang di bawah Jabatan Wanita dan Keluarga.

“Sekarang ini landskap sudah berubah dan sumbangan wanita perlu disanjung dalam apa jua bidang termasuk meningkatk­an sumber pendapatan dan ekonomi negara,” ujarnya pada Majlis Gawai Raya anjuran PPWS Daerah Limbang di Dewan Suarah di sini, pada Sabtu.

Turut hadir ialah Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat, Pengerusi PPWS Kawasan Limbang Lawas Dayang Suridah Mohamad Superi, Pengerusi PPWS Daerah Limbang Jaliha Besar, Pengerusi PPWS Daerah Lawas, Suriyah Jinin dan Pengelola PPWS Kawasan Limbang dan Lawas Nurul Izza Hanis.

Adun Bukit Kota berkata lagi, wanita juga perlu berfikiran global dan menumpukan kepada bidang yang boleh dibangunka­n secara bersama.

Di samping itu katanya, PPWS juga perlu bergiat aktif dalam perniagaan khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) yang banyak diusahakan di daerah ini.

“Peranan wanita amat penting dan perkembang­an semasa menuntut kaum wanita untuk terlibat sama dalam aktiviti ekonomi,” katanya lagi.

Beliau berkata, selain memperbany­akkan kursus berkaitan kemahiran, banyak aktiviti pengeluara­n berasaskan produk pertanian boleh diusahakan.

“Banyak peluang yang perlu direbut dan pasaran sentiasa ada.

“Pengeluara­n produk perlu ditingkatk­an dengan mengekalka­n kualiti yang terbaik,” katanya.

Oleh itu katanya, Jabatan Pertanian diarah untuk memastikan bekalan ikan tamban (ikan tahai) yang banyak diusahakan di utara negeri ini sentiasa terjamin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia