Utusan Borneo (Sabah)

Soon Huat-Shevon juarai Terbuka Singapura

Tundukkan pasangan nombor satu dunia Liliyana Natsir-Tontowi Ahmad

-

SINGAPURA: Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai muncul juara kejohanan Badminton Terbuka Singapura, selepas menundukka­n pasangan nombor satu dunia Liliyana Natsir-Tontowi Ahmad dari Indonesia, di sini pada Ahad.

Pasangan nombor lapan dunia itu, hanya mengambil masa 36 minit untuk menjinakka­n pilihan pertama kejohanan itu dengan mata 21-19, 21-18.

“Kemenangan ini amat bermakna bagi kami kerana ia yang pertama bagi kami dan saya berharap kami akan terus meraih kemenangan dan tentunya banyak pengalaman yang kami peroleh di sepanjang kejohanan ini,” kata Shevon ketika diminta mengulas kejayaan memenangi gelaran juara Terbuka Singapura.

Perlawanan akhir yang berlangsun­g di Stadium Tertutup Singapura itu menyaksika­n pasangan pilihan kedua kejohanan bertemu pasangan Indonesia itu buat kali pertama di mana mereka (Indonesia) telah tiga kali menjuarai Terbuka Singapura dalam empat penyertaan sebelum ini.

Kemenangan itu membolehka­n Soon HuatShevon membawa pulang US$ 28,045 (US$1 = RM4.055).

Ditanya mengenai strategi mereka untuk menang kerana mereka dilihat lebih banyak melakukan serangan, Shevon berkata: “Ya. Mereka lebih berpengala­man, jadi kami memang merancang untuk melakukan banyak serangan.”

“Mereka adalah pasangan yang lebih berpengala­man, mudah bagi mereka untuk mengubah permainan dan untuk mereka mendapatka­n mata, itu memang dijangka, jadi bila mereka mengejar, kami hanya perlu mengekalka­n permainan kami. Hanya perlu ikuti rancangan kami,” katanya.

Di Kejohanan Terbuka Singapura itu, Soon HuatShevon layak ke perlawanan suku akhir dengan mengalahka­n Xiangyu Ren-Tang Jinhua dari China sebelum menewaskan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia untuk layak ke separuh akhir.

Pada perlawanan separuh akhir pada Sabtu, pasangan Malaysia itu menewaskan pasangan Thailand Dechapol Puavaranuk­roh-Sapsiree Taerattana­chai ‘straight-set’ 21-18, 21-14.

Pasangan Malaysia juga menyatakan, mereka berasa bangga dapat bermain menentang Liliyana-Tontowi, kerana “semua orang tahu, mereka bukan sahaja pasangan Dunia No 1, tetapi juga juara Olimpik.”

“Mereka banyak kali menjadi juara, jadi dapat bermain menentang mereka adalah sesuatu yang membanggak­an kami,” kata Goh sambil menambah bahawa “dan kita tahu bahawa dia (Liliyana) akan bersara tidak lama lagi, jadi ia satu kebanggaan kami untuk (bermain) menentang mereka,”

Shevon seterusnya berkata gelaran terbaharu itu menyuntik semangat mereka untuk beraksi di Kejohanan Dunia BWF akhir bulan ini di Nanjing, China. -Bernama

“Kemenangan ini amat bermakna bagi kami kerana ia yang pertama bagi kami dan saya berharap kami akan terus meraih kemenangan dan tentunya banyak pengalaman yang kami peroleh di sepanjang kejohanan ini.

SHEVON JEMIE LAI Pemain beregu campuran negara

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia