Utusan Borneo (Sabah)

Polis Thailand gagalkan cubaan seludup dadah ke Malaysia

-

BANGKOK: Biro Pencegahan Narkotik Thailand (NSB) mencapai kejayaan besar baru-baru ini apabila mematahkan cubaan menyeludup 400kg ‘Ice’ (Crystal Methapheta­mine) dan 77kg heroin bernilai berbilion Baht ke Malaysia.

Kejayaan itu menyaksika­n enam suspek, termasuk seorang wanita, ditangkap dalam operasi berasingan di Hatyai, Chumpon dan Nakhon Si Thammarat pada Khamis dan Jumaat lepas.

“NSB percaya dadah itu dirancang untuk dihantar ke Malaysia. Sebuah lori yang membawa dadah berkenaan dipintas di sebuah stesen minyak di wilayah kecil Kuanlong, Hatyai,” kata ketua NSB Lt Jen Sommai Kongvisais­uk pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata, hasil pemeriksaa­n rapi, para pegawai NSB menemukan dadah itu disembunyi­kan di bawah paip PVC yang dibawa lori berkenaan, dan susulan itu, pemandunya ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut pegawai itu, tiga lagi suspek, yang pihak berkuasa percaya bertindak sebagai “pasukan peninjau” bagi sindiket terbabit, ditangkap di daerah Thungsong, Chumpon, manakala dua lagi diberkas di Nakhon Si Thammarat.

Sommai berkata kesemua suspek, yang berusia antara 27 dan 53 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, pemerintah NSB bagi wilayah selatan, Mej Jen Kitti Sapaothong berkata lori berkenaan dipercayai akan menuju menuju ke Takbai di wilayah Narathiwat di selatan Thailand selepas singgah seketika di stesen minyak itu.

Takbai terletak berhampira­n sempadan Thailand-Malaysia.

“Siasatan NSB mendapati suspek telah beberapa kali mengangkut dadah ke Takbai sebelum ini,” kata Sapaothong serta menjelaska­n bahawa para pegawai NSB mula mengesan lori itu setelah menerima maklumat risikan tentang kehadirann­ya.

Beliau berkata, mereka akhirnya menemukan lori itu di Hatyai pada kira-kira 9 malam (waktu tempatan) Khamis lepas.

Pada sidang media sama, NSB mengumumka­n pegawainya merampas hampir 10 juta tablet “Yaba” (Gila) dan 700kg ganja dalam operasi di Pathum Thani dan Udon Thani pada 11 dan 22 Julai.

Dalam tempoh 11 hingga 22 Julai, NSB merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira 450 bilion Baht (kira-kira RM56 juta). -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia