Utusan Borneo (Sabah)

Motor bergesel: Dua maut, dua cedera

-

ALOR SETAR: Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Taman Belimbing dekat Jitra, petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, mangsa yang maut ialah Nur Tasnim Batrisyia Suhaimi, 9, dari Kampung Bukit Choras, Kota Sarang Semut, Alor Setar dan Ahmad Yahaya, 51, dari Kampung Keda Desa Malau, Jitra.

Beliau berkata siasatan mendapati Nur Tasnim Batrisyia bersama adik perempuann­ya, 7, membonceng sebuah motosikal yang ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun telah bergesel dengan motosikal yang ditunggang Ahmad, yang bekerja sebagai pengawal keselamata­n di sebuah sekolah.

“Kedua-dua motosikal yang datang dari arah sama telah bergesel sebelum terjatuh di kanan jalan dan pada masa sama sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 51 tahun dari arah sama tidak dapat mengelak lalu melanggar kedua-dua mangsa.

“Akibat pelanggara­n itu, Nur Tasnim Batrisyia maut di tempat kejadian manakala Ahmad meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mohd Ismail berkata pemandu kereta yang juga kerani di sebuah sekolah memandu tidak mengalami sebarang kecederaan, membuat laporan polis di Balai Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia