Utusan Borneo (Sabah)

10 ditahan, dadah 156kg bernilai RM7.8 juta dirampas

-

KUALA LUMPUR: Seorang polis bantuan antara 10 lelaki ditahan di sekitar Ampang di sini, dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludup­an dan pengedaran dadah yang dianggarka­n bernilai RM7.8 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata kesemua lelaki berusia antara 25 dan 46 tahun itu ditahan Sabtu lepas oleh sepasukan anggota JSJN Bukit Aman hasil siasatan bersama Suruhanjay­a Kawalan Narkotik Kebangsaan China (CNNCC).

Beliau berkata susulan tangkapan berkenaan, polis menemui 156 kilogram (kg) dadah disyaki syabu dalam bungkusan teh yang disembunyi­kan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Ampang.

“Dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran dan dijual untuk pasaran tempatan dan antarabang­sa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, pada Isnin.

Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 28 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai jenis dadah bernilai RM111.83 juta dirampas dalam tempoh Januari sehingga Khamis lepas.

Katanya jumlah rampasan dadah jenis syabu ialah 1,403kg, ketamin (19.27kg), pil erimin 5 (163,300 biji), pil yaba (73,533 biji), pil ekstasi (349,800 biji), ganja (1,315kg) dan heroin (509kg). -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia