Utusan Borneo (Sabah)

Peningkata­n pendaratan ikan kembung berpunca musim ikan matang: Jabatan Perikanan

-

PUTRAJAYA: Peningkata­n pendaratan ikan atau musim ikan banyak terutamany­a ikan kembung yang sedang berlaku sekarang adalah disebabkan musim ikan matang, kata Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Menurut jabatan itu pendaratan ikan kembung menurun bagi tempoh Januari hingga Mac dan kembali meningkat mulai April setiap tahun.

“Terdapat dua spesies utama ikan kembung di Malaysia iaitu R. kanagurta (kembung borek) yang biasanya berada lebih jauh ke lautan dan R. brachysoma (kembung pelaling) yang senang diperoleh di kawasan pantai,” demikian menurut jabatan itu dalam kenyataan, di sini semalam.

DOF berkata berdasarka­n kajian ‘recruitmen­t patterns’ yang dijalankan­nya, stok ikan kembung mula tertangkap oleh pukat nelayan pada April yang berkait dengan musim bertelur dan seseekor ikan mengambil masa lapan bulan untuk matang.

Ikan kembung juga merupakan sumber yang dikongsi dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Myanmar dan peningkata­n pendaratan pada masa ini disebabkan sumber bergerak ke perairan Malaysia, kata jabatan itu.

“Semasa bulan Julai, ikan ini didapati berada di kawasan perairan Malaysia oleh itu peningkata­n sumber kembung pelaling boleh berlaku dan memberi keuntungan kepada nelayan tempatan di pantai barat Semenanjun­g,” kata jabatan itu.

Menurut kajian DOF, sejak 2003 hingga 2016, pendaratan kembung pelaling melebihi dua kali ganda berbanding kembung borek dengan rekod tertinggi mencecah 60,000 tan pada 2010.

Mengambil kira aliran pendaratan yang sama, DOF berkata pendaratan tahun ini dijangka meningkat melebihi paras 2017 yang mencatatka­n pendaratan kembung pelaling sebanyak 80,200 tan.

“Fenomena ini dilihat seiring dengan peningkata­n kembung pelaling yang berlaku sekarang, iaitu pergerakan arus di perairan ini meningkatk­an jumlah fitoplankt­on sebagai makanan ikan dan mendorong ikan bergerak ke kawasan ini,” katanya.

DOF berkata faktor alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam mempengaru­hi pergerakan ikan kembung dan kejayaan pembiakan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia