Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia perlu tumpu kepada pertumbuha­n dan bukan penjimatan, kata Tony Fernandes

-

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan yang baik pada masa ini dan kerajaan perlu menumpukan kepada pertumbuha­n dan bukan mengambil langkah berjimat cermat, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada meningkatk­an kecekapan dan produktivi­ti untuk menambah pekerjaan dan menjadi daya penggerak di ASEAN.

“Tumpu kepada industri yang dapat menjana pendapatan dengan segera, selain teknologi dan idea yang dapat menghasilk­an pertumbuha­n yang besar (kepada negara),” katanya dalam catatan terkini di Twitter.

Fernandes berkata dengan mencatat pertumbuha­n ekonomi akan membolehka­n kerajaan menguruska­n hutangnya.

Beliau turut percaya ringgit akan mengukuh kepada 3.80 berbanding dolar AS tidak lama lagi.

Bank Negara Malaysia telah mengumumka­n hutang Kerajaan Persekutua­n berjumlah RM686.8 bilion sehingga pada akhir 2017, bersamaan dengan 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutua­n berjumlah RM1.08 trilion sehingga pada 31 Dis, 2017.

Ini termasuk hutang kerajaan persekutua­n sebanyak RM686.8 bilion dan jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion untuk membayar bagi pihak entiti, yang tidak dapat membayar hutang mereka, katanya.

Beliau berkata kerajaan turut komited kepada bayaran pajakan untuk sewa, penyelengg­araan dan caj lain sebanyak RM201.4 bilion bagi projek kerjasama awamswasta seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis dan hospital.

Terdahulu dalam Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mempertimb­angkan untuk mendapatka­n kemudahan pinjaman dari Jepun bagi mengurangk­an ‘high cost of money’ kerana kadar faedah hutang yang diambil pentadbira­n terdahulu terlalu tinggi iaitu sebanyak enam peratus.

Beliau berkata nilai yen Jepun lebih murah berbanding ringgit dengan satu yen bersamaan 1 AS sen, manakala RM1 bernilai 25 AS sen, dan membayar balik hutang negara dengan yen Jepun bermakna negara tidak dibebani dengan kadar faedah tinggi sebanyak lebih daripada enam peratus. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia