Utusan Borneo (Sabah)

1,791 kes denggi di Sabah

-

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,791 kes denggi direkodkan di Sabah sehingga 21 Julai ini, meningkat 666 kes berbanding 1,125 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata daripada 26 daerah di negeri ini, 12 daerah menunjukka­n peningkata­n kes denggi berbanding tahun lepas.

“Empat daerah dengan bilangan kes yang tinggi adalah Kota Kinabalu iaitu 491 kes, Tawau (357), Kunak (202) dan Lahad Datu (178),” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Bilangan kematian akibat denggi di Sabah sehingga 21 Julai ini ialah 15 kes meningkat 11 kes berbanding cuma empat kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Justeru, orang ramai perlu sentiasa peka dengan kebersihan persekitar­an mereka serta mengambil langkah perlu bagi memastikan nyamuk Aedes tidak membiak di kawasan masing-masing, kata Dr Christina.

Orang ramai dinasihat agar terus menjaga kebersihan kawasan masing-masing dan melakukan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Jika menyimpan air dalam bekas, sila pastikan bekas ditutup rapat atau dibubuh ubat jentik-jentik, dan pastikan tidak ada tempat takungan air terbiar di kawasan masing-masing. nasihat Dr Christina.

Mengikut Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975, pemilik premis boleh dikenakan kompaun serta merta tidak melebihi RM500 jika didapati bersalah membiarkan jentik-jentik membiak di premis mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia