Utusan Borneo (Sabah)

Bayi maut tersedak susu selamat dikebumi

-

BACHOK:Mayat bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Melaka, selamat dikebumika­n di kampung halaman ibunya di Kampung Alor Bakat di sini, pada Selasa.

Jenazah Yusof Al-Baihaqi Zainal Abidin tiba di rumah kira-kira pukul 8.30 pagi dari Melaka dan dikebumika­n pada pukul 9 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Bakat.

Bapa bayi berkenaan, Zainal Abidin Deraman, 34, ketika ditemui pemberita berkata beliau dan isteri reda dengan kejadian itu walaupun agak terkilan.

Katanya isterinya masih trauma dengan kejadian yang menimpa bayi mereka kerana sudah tujuh tahun menunggu untuk mendapat anak kedua.

“Jarak umur antara Yusuf dengan kakaknya, Amni Batrisya, 8, agak jauh. Tidak sangka dalam tempoh singkat ini dia pergi meninggalk­an kami semua.

“Namun begitu, saya reda dengan kejadian ini. Bedah siasat awal sudah mengesahka­n anak saya mati akibat tersedak susu dan ada jangkitan di paru-paru,” katanya.

Zainal Abidin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah berkata bayinya itu ditempatka­n di Taman Asuhan Kanak-kanak itu bersama kakaknya sejak seminggu yang lalu.

Katanya anak sulungnya turut ditempatka­n di pusat asuhan itu selepas pulang dari sekolah sebagai transit sebelum diambil semula pada sebelah petang.

“Pemilik pusat asuhan itu sudah berjumpa dengan saya dan menjelaska­n keadaan yang berlaku,” katanya yang enggan mengulas lanjut kerana masih bersedih.

Kejadian itu hanya disedari guru pusat asuhan itu pukul 11.45 pagi Isnin selepas mendapati muka bayi berkenaan bertukar kebiruan.

Bayi berkenaan dihantar ke pusat asuhan berkenaan sejak Isnin lalu selepas ibunya Roslina Ismail, 34, kembali bertugas sebagai guru selepas habis berpantang.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia